32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Biar peluru datang bertabur, Askar Melayu pantang undur

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

SEBELUM Pertempuran Bukit Chandu pada 13 dan 14 Februari 1942, pegawai-pegawai tinggi tentera British meragui keupayaan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) untuk berjuang sebagai satu pasukan yang mantap.

Penubuhan RAMD yang juga terkenal dengan nama Askar Melayu pada 1936 hanya dilaksanakan oleh penjajah British setelah didesak oleh Raja-raja Melayu.

Namun, semangat perwira yang ditunjukkan oleh Leftenan Datuk Adnan Saidi dan anak-anak buahnya yang sanggup berjuang sehingga titisan darah terakhir membuktikan pandangan skeptik British itu jauh meleset.

Bukit Chandu di Singapura merupakan posisi yang sangat bagi tentera British bagi mengekang kemaraan tentera Jepun di Singapura pada Perang Dunia Kedua.

Sekiranya posisi itu gagal dipertahankan, tentera Jepun boleh terus menyerbu ke depoh senjata dan peluru serta hospital tentera British di Jalan Alexandra tanpa halangan.

Kapten H. R. Rix yang mengetuai Kompeni C Askar Melayu mengarahkan anak-anak buahnya termasuk Leftenan Adnan untuk menyekat kemaraan tentera Jepun sehingga titisan darah terakhir dan mereka mematuhi arahan itu sepenuhnya.

Setelah dua hari bertempur dengan gagah dan berani, Leftenan Adnan bersama sebahagian besar pegawai dan anggota Kompeni C yang lain terkorban setelah diserang bertubi-tubi oleh tentera Jepun yang jumlahnya jauh lebih besar.

Askar Melayu
Gambar: FB Tentera Darat Malaysia

Kesungguhan Leftenan Adnan mencetuskan kemarahan tentera Jepun yang kemudian menyumbat Allahyarham ke dalam karung guni dan menggantung kakinya di dahan sebatang pokok ceri.

Advertisements

Askar-askar Jepun yang mabuk darah kemudian menikam tubuh Leftenan Adnan dengan bayonet dan mengelar lehernya berulang kali.

Mayat Allahyarham dibiarkan di situ selama berhari-hari dan penduduk tempatan tidak berani menyempurnakan pengebumian Allahyarham serta mayat-mayat yang lain kerana takut dengan ancaman tentera Jepun.

Dengan jatuhnya Bukit Timah ke tangan Jepun, tentera British tidak mempunyai pilihan selain menyerah kalah pada 15 Februari 1942.

Di sebalik kekalahan itu, semangat juang yang ditunjukkan oleh Leftenan Adnan dan anak-anak buahnya membuktikan pahlawan-pahlawan Melayu bersedia mempertaruhkan nyawa mereka untuk mempertahankan tanah air tercinta.

Kisah keperwiraan Leftenan Adnan menjadi sumber inspirasi generasi pewaris dalam RAMD ketika berjuang mempertahankan negara daripada ancaman pengganas komunis, tentera Indonesia ketika Konfrontasi dan serangan kumpulan pengganas yang diketuai Jamalul Kiram di Lahad Datu.

Darah Leftenan Adnan serta tujuh pegawai dan 146 anggota berketurunan Melayu dalam Kompeni C RAMD yang tumpah di Bukit Chandu 79 tahun lalu tidak ditelan bumi begitu sahaja.

Pengorbanan mereka merupakan manifestasi kesinambungan keberanian perwira-perwira Melayu yang mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu sejak dari era Kesultanan Melayu Melaka sehingga kini. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan