25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kerjasama UMNO dan PAS mesti diteruskan – Zahid

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kerjasama antara UMNO dan PAS yang dimeterai melalui kerangka Muafakat Nasional (MN) perlu diteruskan kerana ia terbukti memberi impak positif kepada kedua-dua parti.

Pandangan itu disuarakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dalam hantaran Facebook miliknya malam ini.

“Insya-Allah hubungan fikrah ini akan terus rapat dan dekat.

“Sebab itu juga baru-baru ini saya menyatakan Barisan Nasional (BN) akan terus diperkasakan dan dalam masa yang sama mengukuhkan kerjasama dengan pihak yang jujur dan ikhlas untuk bekerjasama,” kata beliau yang juga Pengerusi BN.

Ahmad Zahid membuat penjelasan itu bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan banyak pihak tentang status terkini MN yang dipelopori UMNO dan PAS pada 2019.

Persoalan itu timbul setelah PAS secara rasmi telah menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Seperti dinyatakan oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, UMNO pula sekadar menyokong pembentukan kerajaan PN demi kestabilan pentadbiran negara selepas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Beliau menambah, pendirian UMNO itu selaras dengan perkembangan terbaharu majoriti akar umbi parti pada mesyuarat bahagian yang menolak kerjasama dengan PPBM pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Bagi menjelaskan persoalan tentang kedudukan MN yang dimeterai UMNO dan PAS pada 2019, apa yang boleh saya katakan adalah hubungan kedua-dua parti masih baik walaupun terdapat pelbagai interpretasi di luar.

“Hubungan kedua-dua parti masih berjalan walaupun mungkin ada pihak tidak berapa senang dan berterusan mencari jalan untuk merenggangkan,” jelasnya.

Siapakah yang tidak senang dengan hubungan baik UMNO dan PAS dan mengapa mereka cuba merenggangkan hubungan kedua-dua parti itu?

Tidak pula dijelaskan oleh Ahmad Zahid secara terperinci.

Beliau turut mendedahkan ilham untuk menjalinkan semula kerjasama antara kedua-dua parti telah pun wujud sejak 1998.

“Selepas saya mendapat ‘Ijazah’ Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), saya bertemu pemimpin PAS, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din ketika itu.

“Allahyarham Tuan Guru waktu itu merupakan Ketua Penerangan PAS. Saya masih ingat kata-kata Allahyarham Datuk Dr. Haron Din kepada saya.

“Beliau menyatakan betapa hasratnya melihat UMNO dan PAS dapat berkongsi fikrah antara satu sama lain meskipun walau tidak bergabung sebagai sebuah parti suatu hari nanti.

“Saya secara peribadi menganggap hasrat itu sebagai wasiat Allahyarham Tuan Guru kepada saya apabila beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 2016.

“Syukur alhamdulillah wasiat itu dapat ditunaikan melalui pemeteraian Piagam MN di Dewan Merdeka, dewan utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019.

“Saya masih ingat menjadi Presiden UMNO yang berkunjung ke pusat perkhidmatan Presiden PAS di Rusila dan menghadiri Muktamar Sanawi PAS di Gong Badak,” katanya.

Ahmad Zahid menjelaskan, usaha mewujudkan kerjasama UMNO dan PAS pasca PRU-14 turut dijayakan oleh kepimpinan tertinggi yang lain kedua-dua parti.

Semoga harapan majoriti orang Melayu dan umat Islam di negara ini agar UMNO dan PAS kekal berganding bahu dalam PRU-15 dan berikutnya dimakbulkan Allah SWT. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan