25.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Noh: UMNO Selangor sedia sokong, bantu Bersatu asalkan…

Mesti Baca

CYBERJAYA – UMNO Selangor tidak sewenang-wenangnya melepaskan kerusi yang selama ini menjadi kubu kuat parti itu kepada Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar bagaimanapun berkata, pihaknya akan menyokong dan membantu Bersatu sekiranya mereka bertanding di kawasan bukan pilihan UMNO.

Menurut beliau, prinsip serupa diamalkan terhadap Pas apabila UMNO tidak akan bertanding di kawasan yang sudah dikuasai oleh parti sekutu Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) itu.

Noh berkata, Langkah tersebut bertujuan mengelak pertemuan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

“UMNO Selangor tidak akan bertembung dgn Pas. UMNO Selangor tidak kompromi untuk memberi kerusi di kubu UMNO kepada Bersatu.

“UMNO Selangor bersedia untuk menyokong dan membantu Bersatu di kerusi bukan pilihan UMNO,” kata Noh hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Shaarani Mohamad yang menegaskan tidak berkompromi dengan Bersatu berhubung kerusi yang akan ditandingi dalam PRU-15 nanti.

Pengerusi Perhubungan UMNO Perak itu berkata, parti itu akan mempertahankan 14 kerusi yang dimenangi dalam PRU-14 baik Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Advertisements

Ini termasuk Parlimen Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang yang mana Ahli Parlimennya menang atas tiket UMNO sebelum melompat ke Bersatu.

Manakala kerusi DUN pula melibatkan Sungai Manik dan Tualang Sekah.

Noh berkata, UMNO Selangor juga berpegang kepada prinsip seperti Perak tetapi pada masa yang sama cuba mengelak pertembungan antara BN, PN dan PH.

Kawasan yang menjadi “pertikaian” antara UMNO dan Bersatu adalah Parlimen Sabak Bernam yang mana wakilnya menang atas tiket BN sebelum menyertai Bersatu.

Selangor sebetulnya mempunyai kerusi yang banyak untuk diagihkan antara BN dan PN memandangkan majoritinya disandang oleh wakil PH terutama dari PKR.

Antaranya ialah Parlimen Pandan yang sudah dua penggal dikuasai oleh PKR dan pada PRU-14 ia dimenangi oleh Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

BN hanya memenangi dua kerusi Parlimen dalam PRU lepas sebelum tinggal Tanjung Karang yang disandang Noh sendiri.

Bagaimanapun UMNO Selangor dijangka akan bertanding di kerusi yang sebelum ini sememangnya menjadi kubu kuat mereka antaranya Kuala Selangor, Sungai Besar, Hulu Langat dan beberapa kawasan lagi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan