24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Bila kerajaan mahu tunai janji penebusan awal GCR?

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menyegerakan pelaksanaan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2020.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pindaan ke atas peraturan yang berkaitan dalam Peraturan-Peraturan Pencen 1980 juga perlu disegerakan bagi membolehkan pelaksanaan itu dilakukan.

Menurut beliau, sebagaimana rakyat lain yang terkesan akibat pandemik Covid-19, penjawat awam juga tidak terlepas daripada merasai perkara itu walaupun gaji mereka tidak terjejas.

“Ini kerana kebanyakan pasangan penjawat awam adalah daripada pekerja di sektor serta peniaga kecil-kecilan yang mungkin telah dibuang kerja dan terjejas pendapatan akibat tidak lagi boleh berniaga.

“Kos belanja sara hidup yang selama ini dikongsi secara bersama terpaksa dipikul sendiri oleh penjawat awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, Adnan memberitahu, kebanyakan penjawat awam yang layak menebus GCR ini telah berkhidmat lebih 15 tahun yang mana anak-anak mereka ramai dan sudah besar serta memerlukan perbelanjaan lebih tinggi.

Beliau menambah, fasa itu merupakan fasa yang memerlukan perbelanjaan yang lebih besar apabila ada anak-anak yang mahu melanjutkan pengajian ke kolej dan universiti.

“Soal memberikan keuntungan atau kerugian kepada penjawat awam jika GCR ini ditebus awal adalah perkara kedua.

“Perkara pertama adalah ia berkaitan dengan survival hidup yang perlu diteruskan ketika ini berbanding selepas usia persaraan,” jelasnya.

Advertisements

Adnan juga meminta semua pihak agar jangan melihat penjawat awam dalam konteks individu, sebaliknya mereka perlu dilihat dalam konteks isi rumah yang turut terkesan dengan pandemik.

“Sebagaimana pemberian pengeluaran i-Sinar kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat, CUEPACS berharap kerajaan dapat memberi khabar gembira kepada penjawat awam dalam hal penebusan awal GCR ini,” katanya.

Beliau berkata, isu mengenai penebusan awal GCR sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai bagi penjawat awam yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun telah berlalu hampir setahun.

Adnan memberitahu, pelaksanaan penebusan GCR yang sepatutnya dilaksanakan dalam Belanjawan 2020 dilihat seperti tiada ertinya buat penjawat awam walaupun ia sudah diletakkan dalam rangka perbelanjaan yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun lalu.

“Sebelum ini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan penebusan awal GCR memerlukan pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Pencen 1980 agar pelaksanaannya teratur mengikut undang-undang yang berkuatkuasa.

“Bagaimanapun beberapa bulan selepas itu kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan untuk mengkaji semula penebusan awal GCR.

“Kajian semula itu mahu dilakukan hanya kerana ia dianggap tidak menguntungkan penjawat awam kerana formula pengiraan penebusan awal GCR adalah berasaskan kepada gaji semasa penjawat awam,” ujarnya.

Menurut beliau, jumlah yang diterima menerusi penebusan awal semasa perkhidmatan dikatakan jauh lebih rendah berbanding semasa bersara kerana gaji yang diterima ketika bersara adalah lebih tinggi.

“Selepas pengumuman tersebut, perkara mengenai pelaksanaan GCR terus dibiarkan tergantung hingga menimbulkan pertanyaan kepada kebanyakan penjawat awam yang sepatutnya layak menuntut penebusan awal GCR,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan