26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Semua pihak diminta cakna isu pelajar IPT jadi ‘sugar baby’

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) cakna mengenai penglibatan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam kegiatan sugar baby.

Presiden UMNO itu berkata, fenomena itu sangat membimbangkan kerana ia bukan sahaja memperlihatkan keruntuhan moral, malah bertentang dengan hukum syarak bagi yang beragama Islam.

Malah beliau juga menggesa pihak berkuasa agama menyiasat dan menyelamatkan para pelajar beragama Islam daripada terlibat dalam kegiatan tersebut.

“Saya tidak berhasrat mencari salah sesiapa dalam soal ini kerana yang paling utama menyelamatkan generasi masa depan negara ini.

“Namun laporan media menyebut peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran mahasiswa mencari sugar daddy berlaku selepas PKP 1.0, PKPB, PKPP dan PKP 2.O.

“Malaysia malah dikatakan berada pada kedudukan tertinggi Asia bagi mahasiswa mendapatkan sugar daddy,” katanya hari ini.

Beberapa hari lalu media melaporkan lebih 12,000 pelajar IPT awam dan swasta di Lembah Klang mendaftar dalam satu aplikasi temu janji tempatan dan antarabangsa.

Statistik menunjukkan jumlah pelajar IPT di Lembah Klang yang mendaftar diri dalam aplikasi temu janji Sugarbook.

Daripada jumlah itu, pelajar Sunway University mencatatkan jumlah tertinggi manakala dua universiti awam iaitu Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut tersenarai.

Sinar Harian semalam melaporkan, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) memandang serius terhadap peningkatan statistik penggunaan aplikasi media sosial tidak bermoral tersebut.

Menurut Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, peningkatan jumlah pelajar IPT yang mendaftar dalam aplikasi itu amat membimbangkan kerana menggambarkan keruntuhan moral, malah pada masa sama menunjukkan kegawatan kewangan golongan pelajar semakin meruncing pada masa kini.

Ahmad Zahid berkata, penglibatan pelajar IPT terbabit berpunca daripada desakan hidup dan ekonomi ekoran pandemik Covid-19.

“Jika benar disebabkan desakan wang, JAKIM, Jabatan Agama Islam negeri, pusat zakat dan baitulmal mungkin boleh menyalurkan bantuan kewangan.

“Bantu mahasiswa dan jangan biarkan mereka hanyut,” katanya. – Edisi 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan