29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Wanita muda dakwa anggota polis minta tunjuk payu dara

Mesti Baca

CYBERJAYA – Seorang wanita muda mendakwa telah diminta oleh seorang anggota polis untuk menunjukkan payu daranya ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Duta menghala keluar dari Kuala Lumpur pada 12 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu, mangsa yang berusia 23 tahun mendakwa anggota polis terbabit mengugut akan mengeluarkan saman sekiranya dia enggan berbuat demikian.

Menurut beliau, pengadu juga telah diminta oleh anggota polis berkenaan untuk memberikan nombor telefon miliknya.

“Pengadu dibenarkan beredar setelah ketulenen identiti kad pengadu selesai diperiksa,” katanya dalam kenyataan media.

Anuar menambah, wanita terbabit telah membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut, petang semalam.

Beliau memberitahu, polis sedang menjalankan siasatan berkaitan dakwaan salah laku anggota polis semasa menjalankan tugas.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis,” tegasnya.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian diminta mengubungi hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Advertisements

Insiden tersebut dilaporkan dalam masa tiga hari selepas ciapan Twitter seorang wanita muda mendakwa seorang anggota polis mengoratnya melalui aplikasi WhatsApp tular dalam media sosial.

Dalam tangkap layar ciapan yang tular itu, wanita terbabit menyatakan seorang anggota polis mengambil maklumat peribadi termasuk nombor telefon semasa disoal dalam satu sekatan jalan raya.

Kemudian, dia dihubungi oleh anggota polis berkenaan melalui aplikasi WhatsApp dan menyatakan hasratnya untuk berkenalan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah pun menghubungi wanita itu melalui Twitter untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Difahamkan, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan IPK Pulau Pinang sedang menyiasat kedua-dua dakwaan tersebut.

Eloklah netizen bawa bertenang dan beri ruang kepada PDRM menyiasat dakwaan yang dibuat dua wanita terbabit.

Komen-komen yang dibuat tanpa maklumat yang cukup tidak membantu siasatan yang dibuat oleh PDRM itu. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan