30.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Keupayaan meramal ekonomi masa depan

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

SEJAK kecil, penulis memang meminati apa juga bahan bacaan atau tontonan filem dan siri TV yang berkaitan dengan kehidupan masa depan (futuristik).

Oleh kerana minat yang mendalam terhadap bidang ekonomi (antara subjek cemerlang ketika menjadi mahasiswa), penulis banyak membaca buku-buku ditulis oleh pakar-pakar bersifat futurist seperti John Naisbit yang terkenal dengan buku bersifat ramalan ekonomi, politik dan kehidupan manusia dunia pada masa depan.

Antara buku yang penulis baca ialah Mind Set!: Reset Your Thinking and See the Future (2006) dan China’s Megatrends: The 8 Pillars of a New Society (2010).

Bila memahami kandungan buku China’s Megatrends: The 8 Pillars of New Society penulis dapat melihat kebenaran ramalan beliau tentang kemajuan drastik negara China sebagai antara kuasa ekonomi dan politik dunia yang sudah berlaku dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

Penulis juga begitu meminati buku tulisan James Canton, CEO dan Pengerusi Institut Masa Depan Global (Institute For Global Futures) yang bertajuk The Extreme Future: The Top Trends That Will Shape The World In The Next 20 years (2007).

Penulis bersama wakil-wakil agensi strategik ketika perasmian PESAT pada tahun 2019.

Beliau menggariskan bagaimana dunia menuju masa depan yang bersifat ekstrem dalam kehidupan individu, inovasi ekonomi, masa depan tenaga kerja, keselamatan awam, hubungan China dan AS, globalisasi, pemanasan global, kesihatan dan teknologi.

Hari ini, penulis akui kebenaran ramalan mereka berdasarkan situasi yang sudah berlaku. Kesemua buku dibeli seawal mungkin pada tahun buku-buku tersebut ditulis dan diterbitkan supaya penulis dapat merasai fakta masa depan dan mengamati butiran ramalan melalui proses perjalanan masa.

Sebenarnya, apakah kaitannya dengan pembacaan, penghayatan dan gunanya ilmu ramalan pakar-pakar futurist ini?

Kajian yang ditulis berdasarkan ilmu, pengalaman dan pengamatan yang mendalam ini bukanlah seperti ‘ramalan tok nujum kerana pemikiran yang dicetuskan adalah berdasarkan kajian, fakta dan data yang sahih.

Dapatan mereka dalam meramalkan masa depan telah banyak mempengaruhi penulis terutama dalam menjayakan misi ekonomi sosial sejak dulu hingga kini.

Contoh jelas ialah ketika penulis bersama kerajaan menjayakan program Ekonomi Sejahtera Rukun Tetangga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PESAT) yang digerakkan secara rasmi pada April 2019 oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Oleh kerana struktur pengurusan komuniti bandar raya yang sudah lama wujud dan tersusun adalah Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), maka JPNIN bekerjasama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama penulis untuk menjayakan PESAT sejak tahun 2018.

(Perintis nasional sebenarnya bermula tahun 2016 melalui program yang hampir sama melibatkan beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak).

Penulis sudah melihat kemiskinan bandar seperti Kuala Lumpur sebagai bakal menjadi masalah besar negara sejak 10 tahun lalu. Selalunya KRT dikaitakan dengan sinonim Rondaan Sukarela dan Tabika Perpaduan sahaja.

Namun, penulis dan Pengarah JPNIN, Suraya Wen melihat skop yang menjadi kunci perpaduan dan keharmonian masyarakat terutama KRT warga bandaraya Kuala Lumpur adalah kesejahteraan ekonomi juga.

Bertemakan “Merakyatkan Kesejahteraan Ekonomi Demi Perpaduan”, pelbagai gerak kerja tersusun diatur dan dilaksanakan secara berperingkat.

Bermula dengan lawatan perubahan sikap dan minda pemimpin KRT sendiri ke projek ekonomi komuniti penulis seperti di Perak hinggalah karnival, siri ceramah, latihan pembangunan usahawan dan lain-lain.

Penyertaannya melibatkan peserta peringkat tadika hinggalah orang dewasa.

Penulis (lima dari kiri) menganjurkan Anugerah Agro Remaja@Sekolah 2010 bagi menggalakkan amalan pertanian di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Walaupun pengisian aktivitinya agak terganggu dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sejak Mac tahun lalu, program PESAT telah membantu menyediakan doktrin pemikiran baru di kalangan warga bandaraya Kuala Lumpur, khususnya hampir satu juta orang warga bandar raya itu yang berada dalam kawasan lebih 300 KRT KL (Majoritinya adalah golongan B40), tentang kepentingan meningkatkan ekonomi diri dan keluarga.

Takdir Allah, selepas dua tahun PESAT digerakkan, impak PKP Covid-19 telah membadai warga bandaraya Kuala Lumpur.

Advertisements

Baru-baru ini pula, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) telah melaporkan bahawa keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur amat terkesan dengan PKP 2.0.

Pihak yang bertanggung jawab dengan pengurusan warga bandaraya ini seperti DBKL dan JPNIN sepatutnya sudah tidak perlu bersusah payah merangka strategi baru kerana platform sedia ada seperti PESAT boleh diteruskan seperti biasa untuk menyusun semula pembangunan ekonomi warga bandaraya Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan oleh UNICEF dan UNFPA.

Penulis dan Suraya tidak pernah meramalkan kedatangan Covid-19 tetapi meramalkan apa juga ketegangan dan stress yang boleh menggugat kesejahteraan dan keharmonian warga bandar raya terutama warga KRT akibat bencana ekonomi dan golongan miskin tegar (extreme poverty) masa depan.

Oleh itu, langkah berjaga-jaga dan pencegahan perlu disusun dari awal. Itulah kuasa meramalkan situasi masa depan dan PESAT adalah antara buktinya.

Begitulah juga bagaimana penulis bergerak secara habis-habisan dalam bidang TVET, pertanian dan jaminan keselamatan makanan negara sejak 10 tahun yang lalu.

Apabila ramalan dunia tentang krisis makanan yang akan berlaku pada masa depan, penulis mengorak langkah ke seluruh negara membangunkan TVET, pertanian dan industri makanan secara konsisten, biarpun penuh badai gelora.

Hari ini, impak Covid-19 telah menukar dunia kepada kehidupan norma baharu sekelip mata. Maka peranan TVET yang semakin penting untuk bekerja dengan teknologi baru dan kaedah pembelajaran yang berbeza menuntut kita melakukan perubahan.

Tiga tahun dulu penulis sudah mengilhamkan program latihan bersifat Pendek (short), Jimat (Save) dan Terjamin (guarantee) benar-benar menjadi kenyataan apabila krisis latihan dan keperluan tenaga kerja industri hari ini menjadikan program latihan kemahiran jangka pendek yang menjimatkan masa, kos dan dijamin pekerjaan menjadi pilihan pelatih dan majikan post pandemic Covid-19.

Paling ketara, perjuangan lebih 10 tahun hingga kini ialah pembangunan pertanian. Banyak usaha yang sudah dilakukan. Penulis berpegang kepada slogan pusat latihan kami iaitu Transformasi Pertanian Generasi Baru.

Slogan ini diterjemahkan dengan menyediakan dua jenis generasi iaitu generasi tenaga kerja dan generasi dalam pembangunan teknologi serta tambah nilai yang menjana pendapatan dan produktiviti yang lebih tinggi.

Google sahaja nama penulis, pasti akan terkeluar 1001 cerita perjuangan penulis menjayakan semua sektor di atas.

Sebenarnya,tanpa kita membaca buku orientalis dan kapitalis barat, Islam telah meninggalkan dua khazanah sepanjang zaman yang sudah mendahului pemikiran biasa manusia iaitu Al-Quran dan Hadis.

Banyak ramalan pengurusan ekonomi masa depan yang sudah disampaikan seperti dalam Surah Yusuf yang menceritakan kaedah pengurusan ekonomi masa depan yang bersifat berdaya tahan sepanjang zaman.

Namun begitu, kejayaan kita merealisasikan persiapan memenuhi ramalan kehidupan dunia masa depan bergantung kepada sensitiviti kita terhadap persekitaran, kerajinan kita menimba ilmu dan maklumat serta prestasi kesungguhan cara bekerja kita semua.

Pengalaman penulis bergelumang dengan perancangan masa depan negara sebelum ini memperlihatkan bahawa ramai yang berminat dan sedar tentang ramalan masa depan dunia tetapi ramai yang tidak serius untuk mengubah masa depan secara konsisten dan istiqomah.

Usahkan berubah pemimpin politik atau kerajaan yang memerintah, bertukar pegawai kerajaan pun cukuplah. Maka akan berlakulah apa yang saya sebut Tabiat Lazim (Typical Attitude) apabila masing-masing mahu mewujudkan legasi diri yang kadang-kadang menjadikan usaha yang baik menjadi tidak baik.

Lebih malang, tiada pula perkara baik yang baru. Akhirnya semua jadi tidak baik atau HANCUR!

Penulis bukanlah ahli Nujum Pak Belalang tetapi ramalan penulis ialah impak Covid-19 bakal menjadi bencana terburuk dunia yang mungkin kita tidak pernah lalui dan jangkakan yang akan berlaku pada bila-bila masa.

Maka, ramalkanlah pula apakah penyelesaiannya dengan mengajak mereka yang benar-benar layak dan berpengalaman bersama-sama kita untuk menghadapi ramalan masa depan.

Apapun yang kita ramalkan, perancangan Allah jua adalah yang terbaik.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan