27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Sebar agama lain kepada umat Islam dilarang Perlembagaan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan bahawa kerajaan tidak akan memandang ringan sebarang usaha yang boleh mengeruhkan hubungan antara agama khususnya melibatkan sensitiviti agama-agama di Malaysia.

Beliau berkata, penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam adalah tertakluk kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Zulkifli memberitahu, fasal itu memberi kuasa kepada negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama lain kepada orang Islam.

“Termasuk mengekang sebarang cubaan untuk memujuk, membawa atau mengajak orang Islam keluar dari agamanya sama ada melalui dakyah, perkahwinan atau apa jua cara sekali pun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas tentang rakaman video yang tular dalam media sosial berhubungan seorang lelaki mengaku dia telah memurtadkan seorang muslimah warga asing.

Berhubung kes berkenaan, Zulkifli meminta orang ramai memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.

Beliau menambah, hampir semua negeri di Malaysia mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam, yang digubal berdasarkan punca kuasa pada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya difahamkan bahawa Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam bagi Wilayah Persekutuan kini dalam proses akhir penggubalan.

“Ini merupakan antara keutamaan kerajaan dalam memperkasa perundangan syariah di Malaysia,” jelasnya.

Zulkifli berkata, selain daripada penguatkuasaan undang-undang, kerajaan juga mengambil berat aspek dakwah dan pendidikan dalam menangani isu-isu berkaitan pengukuhan akidah.

Menurut beliau, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui Unit Konsultasi Akidah sentiasa berperanan sebagai hab khidmat nasihat, bimbingan dan istitabah kepada mana-mana umat Islam yang berhadapan dengan masalah tersebut.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan kenyataan media dan menyatakan komitmen bagi memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dalam menangani isu seperti ini.

Advertisements

“Dalam masa yang sama, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersedia dalam usaha memperkasa dakwah dan tarbiah kepada umat Islam khususnya dari sudut akidah dan kerohanian melalui pendekatan yang menyeluruh dan selari dengan maqasid syariah,” ujarnya.

Sebagai Pengerusi bersama Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Antara Agama (HARMONI) yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara,
Zulkifli akan berusaha untuk memastikan sebarang polemik berkaitan agama akan diselesaikan dengan baik dan berhemah.

“Saya menyeru agar agar semua pihak dapat menghormati antara satu sama lain, serta tidak bertindak menyalahi lunas perundangan, terutama dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan hubungan antara kaum supaya keharmonian kaum dan agama terus terpelihara di negara yang penuh barakah ini,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan berkata, pengakuan seorang lelaki bukan Islam yang mendakwa telah memurtadkan seorang muslimah dan merancang untuk memudah cara kegiatan memurtadkan umat Islam di negara ini adalah sangat dikesali.

Menurut beliau, perbuatan itu jelas bertentangan malah mencabar peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberi jaminan mengenai kedudukan Islam di negara ini.

“Ketegasan YB Menteri Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam isu ini amat disambut baik, bahkan YADIM akan menggerakkan seluruh jenteranya di peringkat nasional dan juga negeri untuk membina benteng sekaligus menyemarak usaha dakwah ke arah mempertahankan aqidah dan pemikiran umat Islam.

“Gerakan riddah (usaha memurtadkan umat Islam) tidak boleh dipandang ringan.

“Selain daripada pihak berkuasa yang mengambil langkah menyiasat dan bertindak di atas peruntukan undang-undang sedia ada, YADIM akan berperanan untuk mengukuhkan kefahaman umat Islam terhadap agama dan cara hidup berpandukan petunjuk Allah SWT,” katanya.

Nasrudin menambah, YADIM akan turut menggerakkan dua agensi pentingnya iaitu Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang dianggotai oleh 280 NGO Islam dan juga Nadwah Ulamak dan Intelektual Islam YADIM (NUIM) untuk mendepani gerakan riddah dalam negara ini.

“Isu riddah (perancangan memurtadkan umat Islam) ini insya-Allah akan ditangani secara bersepadu antara YADIM bersama agensi agama yang lain termasuk JAKIM, Jabatan Mufti, Majlis Agama di negeri-negeri dan TV Al Hijrah, bahkan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan dua aspek utama dapat ditangani dengan tuntas,” jelasnya.

Aspek pertama adalah mengenai pemahaman dan pengukuhan aqidah Islamiah dan syariatnya dalam kalangan umat Islam.

Aspek kedua pula adalah tentang pemahaman dan kepatuhan seorang warga negara kepada peruntukan Perlembagaan khasnya Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di dalam negara ini serta Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang mengawal penyebaran iktikad lain kepada umat Islam. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan