26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

SPNB jamin pembeli terima rumah ikut jadual

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) komited memastikan kesemua unit kediaman yang dibina akan diserahkan kepada para pembeli mengikut jadual yang ditetapkan walaupun industri pembinaan tempatan berdepan ketidaktentuan berikutan pandemik COVID-19 ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin berkata, selain memastikan projek siap mengikut perancangan, SPNB tidak pernah berkompromi dalam aspek kualiti bahkan sentiasa memastikan kesemua unit yang dibangunkan memenuhi spesifikasi serta selamat untuk diduduki dengan memperolehi sijil penyiapan dan pematuhan (CCC).

“Sejak pandemik ini melanda negara, SPNB perlu mematuhi SOP ketat yang ditetapkan kerajaan namun pada masa yang sama, kami sedar akan keinginan para pembeli yang ingin mendapatkan kunci rumah mereka.

“Ada dalam kalangan mereka terpaksa menunggu lama dan SPNB telah mengambil langkah bertanggungjawab dengan menyelesaikan segera apa jua masalah membabitkan pihak kontraktor dan perunding yang dilantik sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas majlis penyerahan kunci kepada 160 pembeli Blok F, Taman Seri Molek Perdana, Plentong, Johor Bahru yang telah disempurnakan oleh Menteri Perumahanan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Muttalib dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil.

Hasleen berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian dari 972 unit rumah dalam pembangunan tersebut yang telah disiapkan dan diserahkan secara berperingkat kepada pembeli.

“Pandemik COVID-19 nyata memberi kesan kepada semua pihak namun ia bukanlah alasan untuk kelewatan penyempurnaan sesebuah projek.

“Selari dengan slogan baharu SPNB iaitu ‘Kediaman Anda Tanggungjawab Kami’, SPNB komited untuk menyelesaikan apa sahaja masalah yang berlaku dengan melantik kontraktor-kontraktor berkelayakan. Bagi projek ini secara khusus, kita telah melantik kontraktor baharu sejak dua tahun lalu,” katanya.

Jelas beliau, baki unit yang belum diserahkan kini dalam fasa akhir penyiapan dan dijangka menerima CCC pada suku kedua tahun ini sebelum diserahkan kepada semua pembeli.

SPNB merupakan anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) yang diletakkan di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan