25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Rumah lelaki mengaku murtad wanita Islam diserbu

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

JOHOR BAHRU – Perbuatan biadab seorang lelaki mengaku telah memurtadkan seorang wanita beragama Islam telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Dia berbuat demikian melalui rakaman video berdurasi tiga minit 26 saat yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Akibatnya, sekumpulan orang ramai menyerbu sebuah premis di kawasan kejiranan Dato’ Onn kira-kira pukul 9.50 malam pada 19 Februari lalu.

Mereka berkumpul di lokasi tersebut kerana mengesyaki lelaki terbabit ada di dalam premis berkenaan.

Mujurlah polis berjaya mengawal keadaan dan tiada sebarang insiden tidak diingin berlaku pada malam itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata, hasil pemeriksaan polis mendapati hanya bapa dan kakak suspek yang berada di rumah.

“Suspek yang berumur lingkungan 29 tahun itu telah dikenal pasti dan tiada di premis tersebut.

“Tiada sebarang tangkapan dan rampasan dibuat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, kes video tular itu telah disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Ayub Khan memberitahu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang menyatakan mana-mana orang yang melakukan atau cuba membuat apa-apa persediaan untuk melakukan atau berkomplot dengan mana-mana orang untuk melakukan apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut atau jika dilakukan akan mempunyai kecenderungan menghasut merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

Menurut beliau, siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan menyebut perkataan-perkataan yang dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama lain.

Polis juga menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum yang lain.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

“Polis Johor menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat terus kepada pihak polis serta tidak mengambil tindakan secara sendirian dibimbangi boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni dan mengganggu gugat ketenteraman awam,” kata Ayub Khan. – EDISI 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan