27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PKPD 2 lokaliti di Sabah, Sarawak hingga 8 Mac

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di lokaliti Kampung Emperoh Jambu, Padawan di Kuching, Sarawak mulai esok hingga 8 Mac.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, sebanyak 60 kes positif COVID-19 telah dilaporkan melibatkan lokaliti tersebut.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti berkenaan dan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 1,215 penduduk mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri memberitahu, PKPD turut dilaksanakan di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu, Sabah mulai esok hingga 8 Mac ini.

Beliau menambah, Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat peningkatan kes secara mendadak melibatkan lokasi tersebut.

“Sebanyak 57 orang didapati positif COVID-19 hasil daripada 226 ujian saringan yang telah dilaksanakan,” jelasnya.

Ismail Sabri berkata, hampir 545 penduduk di lokaliti tersebut akan menjalani saringan secara bersasar oleh Kementerian Kesihatan sepanjang tempoh PKPD.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 509 individu semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Ismail Sabri menjelaskan, daripada jumlah itu, seramai 466 orang dikenakan kompaun manakala sembilan lagi direman dan empat orang lagi dijamin.

“Antara kesalahan direkodkan adalah rentas negeri / daerah tanpa kebenaran (120), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (95), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (111), aktiviti perjudian (54), tidak memakai pelitup muka (49), aktiviti pusat hiburan (37) premis beroperasi lebih masa / tanpa kebenaran (8), keluar rumah tanpa alasan munasabah (11) dan lain-lain (24),” ujarnya.

Menurut beliau lagi, pasukan keselamatan juga berjaya menahan seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas lima kenderaan darat dalam Op Benteng semalam.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 102 buah bot atau kapal di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan,” katanya.

Pada masa yang sama, seramai sembilan PATI turut diusir melalui dua aktiviti pengusiran. – EDISI 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan