30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Penyerahan tanah Sabah kepada Pusat: Apa tidak kena?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh DAWINDA M

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mewakili kerajaan negeri Sabah menyerahkan 177 geran tanah membabitkan kawasan seluas 1,933.09 hektar kepada beberapa agensi Persekutuan bagi pembinaan sekolah, hospital dan kemudahan lain.

Memetik laporan Borneo Today dan laman rasmi kerajaan negeri Sabah, beliau menjelaskan komitmen yang diberikan tersebut diharapkan dapat memberikan manfaat kepada dalam pembangunan infrastruktur rakyat negeri Sabah.

Laman tersebut turut menjelaskan, cukai tanah dan sewa premium geran-geran tersebut telah sepenuhnya diselesaikan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan penyerahan tanah itu adalah selaras dengan Artikel 83 Perlembagaan Persekutuan.

Namun demikian, isu pemberian geran tanah tersebut mencetus kekhuatiran di hati rakyat Negeri di Bawah Bayu ini.

Memang ada yang menyambut baik keputusan tersebut apabila melihat pemberian geran itu bagi tujuan menaik taraf dan pembangunan infrastruktur negeri.

Setelah peralihan pimpinan Kerajaan Negeri Sabah tahun lalu, rakyat mula membandingkan pimpinan kerajaan lama di bawah Datuk Seri Shafie Afdal yang telah menyerahkan lebih 3,000 geran tanah anak negeri kepada penduduk tempatan.

Berbeza pula dengan pimpinan baharu di bawah Hajiji yang melakukan hal sebaliknya. Status geran tanah yang diberikan tersebut menimbulkan pelbagai tanda tanya di hati rakyat Sabah.

Isu geran dan pemilikan tanah di negeri ini bukan lagi isu baharu. Kelulusan pemberian tanah juga dilihat sebagai sebuah proses yang begitu sukar oleh rata-rata penduduk Sabah.

Melalui pendedahan kepimpinan Warisan, punca kesukaran dan kelewatan pemberian geran adalah terkait pentadbiran sebelumnya dan usaha-usaha agensi tertentu yang sengaja melambat-lambatkan proses tersebut.

Selain itu, terdapat juga perkampungan yang telah lama dahulu bertapak namun diwartakan sebagai hutan simpan sehingga tiada pembelaan diberikan kepada penduduk.

Pelbagai pertanyaan umum yang melanda fikiran rakyat Sabah ketika ini.

Advertisements

Menyedari begitu sukarnya mereka memperoleh geran tanah, rakyat mula mempersoalkan apakah tindakan yang dilakukan oleh Hajiji merupakan satu langkah tepat yang akan memberikan pulangan yang diperlukan untuk negeri dikala rakyat sendiri mengemis memohon geran tanah?

Apakah sukar memperoleh provision pembangunan tanpa penyerahan geran tersebut?

Atau apakah ini satu bentuk barter kepada hak autonami dan royalti negeri Sabah yang telah lama dahulu diminta oleh kerajaan Pusat?

Bagaimana pula nasib tuntutan penduduk Sabah sendiri terhadap hak mereka mendapatkan geran tanah?

Bagi negeri Sabah, perundangan yang terpakai adalah berdasarkan Ordinan Pengambilan Tanah (Cap 68).

Secara amnya jika pengambilalihan tanah dilakukan bagi maksud awam atau tujuan sesuai dengan apa yang dinyatakan dalam akta, tindakan tersebut adalah sah dan dibenarkan.

Namun, rakyat berharap ordinan negeri tersebut juga tidak dilepas pandang dalam pemberian hak geran.

Jika ditinjau secara umum pemberian geran kepada Persekutuan adalah sesuai ordinan termaktub yang berhubungan dengan pengembangan dan peningkatan mana-mana bandar dan perbandaran.

Namun sehingga kini masih belum dijelaskan secara mendalam terkait status sebenar dari lokasi geran serta demografi terkait yang terlibat.

Bila dan apakah pelan pembangunan negeri yang sedang dikelolakan mahupun dirancang dalam menyokong pemberian geran tanah tersebut kepada kerajaan Pusat.

Apapun diharapkan keputusan kerajaan negeri benar-benar tulus demi kepentingan pembangunan bukan percaturan hasil bumi demi mengaut keuntungan buta semata.

  • Penulis adalah pembaca setia Edisi 9. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan