34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

UMNO tolak kerjasama dengan PN, MN bakal berkubur?

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

WALAUPUN tiada pengumuman rasmi namun sudah tersebar luas hasil mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, malam tadi di Janda Baik, bahawa parti itu menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ia sekaligus menimbulkan persoalan apakah ia juga bermaksud UMNO tidak akan bekerjasama dengan Pas?

Keadaan itu disebabkan Pas adalah anggota rasmi PN, tidak seperti mana kedudukan parti itu di dalam Muafakat Nasional (MN).

Dalam MN tiada ikatan rasmi dan MN pun tidak didaftarkan secara rasmi sedangkan PN didaftarkan secara rasmi.

Keputusan MT UMNO meletakkan kerjasama parti itu dengan Pas dalam MN terkontang kanting dan boleh dianggap sedang menuju ‘kuburan’ politik – biarpun baru setahun lebih disepakati.

Pas sudah tentulah harus bersama PN dalam PRU-15 kecualilah parti itu membuat keputusan sebaliknya.

Kalau Pas mahu kekal dalam kedua-duanya, ia agak sukar dilakukan. Sebagai contoh Pas mungkin sudah bersepakat dengan UMNO untuk tidak bertembung sesama sendiri, tetapi bagaimana kalau Bersatu menentang UMNO, adakah Pas hanya akan memerhati sahaja dengan tidak turun berkempen sedangkan parti itu adalah anggota PN?

Penulis difahamkan dari segi pembahagian kerusi antara UMNO dan Pas masih belum selesai, yang ada hanya persetujuan untuk tidak bertembung sesama sendiri, tetapi keputusan terbaru MT UMNO itu mungkin akan mengubah keadaan tersebut.

Jika Pas harus terus bersama PN dan melupakan MN, sudah pasti soal pembahagian kerusi dengan Bersatu akan dibincangkan semula.

Pas dilihat mempunyai peluang cerah merampas beberapa kerusi yang dimiliki oleh UMNO khususnya di kawasan yang UMNO menang dengan majoriti kecil dan peluang antara kedua-dua parti 50/50.

Walaupun difahamkan di dalam Pas terdapat ‘perbezaan’ pandangan antara dua kumpulan sama ada mahu bersama PN atau MN, tetapi Pas bukanlah seperti parti lain.

Mereka hanya ‘berdebat’ sesama sendiri sahaja, melontar pandangan secara terbuka dalam mesyuarat tertutup, tetapi apabila pucuk pimpinan sudah membuat keputusan, perdebatan akan berakhir di situ, semua akan akur…”kami dengar, kami patuh”.

Advertisements

Sikap itu bukan sahaja ada dalam kalangan pemimpin tetapi juga akar umbi. Inilah kekuatan Pas yang mungkin tidak ada kepada parti lain.

Kalau parti lain belum tentu lagi. Silap-silap lain pemimpin cakap, lain pula yang dibuat oleh ahli-ahli akar umbi.

Begitulah juga dalam soal hubungan sama ada dengan PN atau MN, ahli-ahli Pas hanya akan mendengar arahan kepemimpinan sahaja, apa yang diputuskan oleh kepemimpinan itulah yang akan mereka patuhi.

Walaupun keputusan itu mungkin tidak selari dengan pendirian mereka, namun demi kepentingan parti, mereka rela berkorban. Apa yang penting parti mereka menang bukan siapa yang mereka mahu menang.

Oleh itu sama ada Pas akan bersama PN mahupun MN, isu kepatuhan tidak akan timbul dalam Pas, jauh sekali perbuatan sabotaj.

Namun begitu, berdasarkan kenyataan seorang pemimpin kanan Pas dalam satu pertemuan dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan Bersatu Isnin lalu, adalah jelas Pas kemungkinan besar akan bersama PN.

Tidak mungkin Pas akan membuat sikap atau mengambil tindakan ibarat, “siapapun menang, Pas tetap untung.”

Pas pasti akan membuat keputusan yang tidak boleh menampakkan mereka ‘gila mahu berkuasa’, dengan si A berpakat dengan si B bergabung.

Kalau pendekatan politik ‘makan keliling’ diamalkan oleh Pas, mereka mungkin akan ditolak oleh rakyat.

Berikutan senario itu, tidak mustahil MN akan berkubur atau sekadar menjadi satu gabungan yang memperjuangkan kepentingan Melayu dan umat Islam tetapi tiada unsur politik.

Soal politik hanya dibincangkan ketika UMNO bersama BN, Pas bersama PN.

Apapun sama-samalah kita tunggu kesudahan hubungan UMNO dan Pas dalam MN ketika hubungan UMNO dan Bersatu sudah sampai ke tahap ‘berkerat rotan berpatah arang’. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan