29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

PKPD taman perumahan Telok Ira mula 21 Februari

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di taman-taman perumahan sekitar Jalan Telok Ira di Temerloh, Pahang mulai esok hingga 6 Mac.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 10 taman perumahan terlibat dalam penguatkuasaan arahan tersebut.

Taman-taman perumahan yang terlibat adalah Taman Desa Bangau, Taman Seberang Damai, Taman Kenari, Taman Seberang Temerloh, Taman Jaya 7, Taman Jaya 2, Taman Jaya 3, Taman Jaya 4, Taman Kelisa dan Taman Bangau.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat peningkatan kes positif secara mendadak di mana sehingga kini sebanyak 72 kes telah dilaporkan yang melibatkan penduduk yang tinggal di taman-taman perumahan ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, PKPD dilaksanakan untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat dan untuk mengawal jangkitan dalam komuniti.

Sementara itu, PKPD di Bandar Raub Perdana di Raub, Pahang ditamatkan hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan pada 25 Februari.

Ismail Sabri memberitahu, sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 287 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak tiga kes telah direkodkan.

“Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan mengesahkan situasi penularan jangkitan di lokaliti ini terkawal dan kesemua kontak rapat, kumpulan sasaran dalam kalangan penduduk telah dikenal pasti, disampel serta diasingkan,” jelasnya.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 461 individu semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Ismail Sabri menjelaskan, daripada jumlah itu, seramai 430 orang dikenakan kompaun manakala 31 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan adalah rentas negeri / daerah tanpa kebenaran (135), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (128), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (72), tidak memakai pelitup muka (67), premis beroperasi lebih masa / tanpa kebenaran (17) dan lain-lain (42),” ujarnya.

Menurut beliau lagi, pasukan keselamatan juga berjaya menahan seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tiga tekong serta merampas lapan kenderaan darat.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 119 buat bot atau kapal di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan