30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Majlis Tertinggi UMNO tolak Bersatu hadapi PRU-15

Mesti Baca

CYBERJAYA – Tiada kerjasama dengan Bersatu. Itulah keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat di Janda Baik, Bentong, Pahang malam tadi.

Dengan keputusan itu bermakna UMNO bersama Barisan Nasional (BN) akan menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tanpa kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu.

Bagaimanapun kerjasama UMNO dengan Pas yang menyertai PN yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih tidak dapat dipastikan.

Menurut sumber, dalam mesyuarat selama tiga jam itu, pemimpin tertinggi parti tersebut turut menolak jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dikatakan ditawarkan kepada pemimpin UMNO.

Difahamkan mesyuarat MT itu diadakan berikutan satu pertemuan peringkat tertinggi antara ketiga-tiga parti baru-baru ini yang meminta UMNO segera memberi keputusan sama ada hendak menyertai PN bagi membolehkan gabungan itu membuat perancangan menghadapi PRU-15.

Mesyuarat MT UMNO malam tadi diadakan di Institut Latihan Memperkasakan Ummah (ILMU), Janda Baik dengan dipengerusikan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sumber memaklumkan, mesyuarat pada malam tadi digambarkan penting khususnya dalam mencorak hala tuju parti Melayu itu menjelang PRU-15.

Terdahulu, pemerhati politik berpandangan bahawa penting untuk UMNO membuat keputusan berhubung perkara tersebut bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara Perikatan Nasional (PN); BN; serta Pakatan Harapan (PH).

Seorang pemerhati politik, Mohamad Asri menerusi tulisannya dalam Edisi 9 hari ini membayangkan UMNO bakal menempuh jalan kematian abadi sekiranya bersendirian menghadapi PRU-15, tanpa kerjasama PN .

Menurut penulis tersebut, UMNO kini dalam keadaan serba kekurangan setelah tidak lagi menerajui kerajaan berikutan kekalahan BN dalam PRU-14 lalu.

Manakala kerjasama parti itu dengan Pas menerusi Muafakat Nasional juga tidak menunjukkan perkembangan setelah Pas menyertai PN di bawah pimpinan Muhyiddin.

“Jika UMNO terus berkira-kira mahu bersendirian, UMNO sebenarnya sedang berkira-kira mahu menempah ‘jalan kematian abadi’ selepas pilihan raya nanti!,” tulisnya.

Penolakan kerjasama dengan Bersatu dan PN itu sudah dibayangkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari lalu yang menggariskan dua hala tuju parti itu masa kini.

Katanya, hala tuju pertama UMNO adalah untuk memperkasakan BN menghadapi PRU-15 dan kedua, memperkukuh kerjasama dengan pihak yang benar-benar jujur dan ikhlas dengan BN. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan