24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Menteri minta kondo batal kompaun kanak-kanak 1 tahun

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Tindakan pengurusan sebuah kondominium di Ampang, Selangor mengeluarkan kompaun RM100 kepada seorang kanak-kanak berusia setahun kerana tidak memakai pelitup muka di dalam lif dianggap sebagai tidak munasabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini, selain Kementerian Kesihatan, hanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja yang mempunyai kuasa mengeluarkan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau menegaskan, tindakan pengurusan kondominium tersebut adalah salah dan tidak boleh dilakukan kerana kerajaan tidak memberi kuasa kepada mereka untuk berbuat demikian.

“Jadi saya harap mereka menarik baliklah kompaun RM100 yang diberikan kepada kanak-kanak berumur satu tahun pulak tu.

“Tindakan yang tidak munasabahlah bagi saya,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Kisah kanak-kanak yang dikompaun itu tular dalam media sosial sejak semalam.

Sementara itu, berhubung isu sekumpulan empat pelajar yang dikenakan kompaun kerana menaiki kenderaan yang sama sedangkan alamat mereka berbeza, Ismail Sabri memberitahu, kelonggaran yang diberikan sebelum ini adalah membenarkan had penumpang mengikut kapasiti.

Beliau menyatakan tidak pernah menyebut bahawa hanya mereka dari alamat rumah yang sama dibenarkan berada dalam sesebuah kenderaan.

“Tak timbul dari alamat yang sama, bebas, boleh penumpang dari rumah yang berbeza, ikut kapasiti tempat duduk,” jelasnya.

Advertisements

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, kerajaan memberi kelonggaran kepada ibu bapa yang akan menghantar anak-anak ke sekolah tanpa perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah dan negeri daripada polis.

“Namun, mereka hanya perlu menunjukkan surat yang dikeluarkan oleh pihak sekolah ketika melalui sekatan jalan raya,” ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu, kerajaan juga membenarkan pemuzik jalanan atau buskers menjalankan aktiviti mereka di kawasan PKP sama seperti di kawasan PKP Bersyarat (PKPB ) dan PKP Pemulihan (PKPP).

“Dengan syarat mematuhi semua SOP asas termasuk menjaga jarak dengan pengunjung. Kebenaran ini akan berkuat kuasa esok, 26 Februari 2021,” katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan PKP Diperketatkan (PKPD) di Kampung Darau Awek, Kampung Padang Baloh dan Kampung Lepan Kejor, Pasir Akar di Besut, Terengganu akan berakhir pada 27 Februari seperti yang dijadualkan.

PDRM turut menahan 460 individu semalam atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 388 telah dikompaun manakala 70 individu direman dan dua dijamin.

Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (135), tiada penjarakan fizikal (109), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (68), tidak memakai pelitup muka (63), aktiviti pelacuran/rumah urut (20), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (20), aktiviti pusat hiburan (12) dan lain-lain (33).

Pasukan keselamatan berjaya menahan 23 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong serta merampas 11 kenderaan darat dalam Op Benteng di seluruh negara semalam.

“Dalam operasi itu juga, 125 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui 12 aktiviti penglihatan. Pada masa sama, seramai 34 orang PATI turut berjaya diusir melalui empat aktiviti pengusiran,” jelas Ismail Sabri. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan