24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Singapura tahan remaja 16 tahun rancang serang 2 masjid

Mesti Baca

SINGAPURA – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Disember tahun lalu kerana merancang dan membuat persiapan untuk melakukan serangan keganasan ke atas Masjid Assyafaah dan Masjid Yusof Ishak dengan parang.

Berita.mediacorp.sg melaporkan, remaja itu, penganut agama Kristian Protestan dari kaum India, dipercayai merancang serangan itu semasa ulang tahun kedua serangan pengganas ke atas masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac.

Pelajar sekolah menengah itu menjadi tahanan termuda ISA dan yang pertama dipengaruhi ideologi pelampau sayap kanan.

Remaja yang tidak didedahkan namanya kerana faktor usia menjadi radikal sendiri didorong rasa benci terhadap Islam dan cenderung ke arah keganasan. 


Siasatan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) yang mendedahkan perkara itu hari ini berkata, perancangan dan persediaan remaja itu jelas dipengaruhi perbuatan Brenton Tarrant, lelaki yang bertanggungjawab melancarkan serangan ke atas dua masjid di Christchurch pada 15 Mac 2019.

Remaja itu menonton video yang dipaparkan secara langsung ke media sosial oleh Tarrant semasa melancarkan serangan ke atas Masjid Al-Noor dan Pusat Islam Linwood ketika itu. Dia juga membaca manifesto Tarrant.

Dia juga menonton video-video propaganda ISIS dan membuat kesimpulan bahawa ISIS mewakili agama Islam dan Islam menyuruh penganutnya supaya membunuh orang bukan Islam.

Remaja itu memilih tarikh ulang tahun kedua serangan di Christchurch untuk melancarkan serangannya di Masjid Assyafaah di Sembawang dan Masjid Yusof Ishak di Woodlands kerana ia berdekatan dengan rumahnya. Dia malah membuat kajian ke atas kedua-dua buah masjid yang mahu diserang.

Remaja itu kemudian membeli jaket ves taktikal dari sebuah platform online dan merancang untuk menampal lambang pelampau sayap kanan dan mengubah suainya supaya dapat meletakkan alat rakaman untuk menyiarkan serangan yang akan dilakukan secara langsung. Ini sama seperti yang dilakukan oleh Tarrant.

Remaja itu juga meninjau pelbagai pilihan senjata untuk digunakan. Pada awalnya dia merancang untuk menggunakan senapang yang serupa dengan yang digunakan Tarrant. 

Dia berjaya mendapatkan seorang penjual menerusi sebuah platform mesej privet namun tidak meneruskan rancangan tersebut kerana mengesyaki penjual berkenaan melakukan penipuan.

Dia terus cuba mencari senjata api lain online tetapi melupakan idea itu apabila menyedari sukar untuk mendapatkannya disebabkan undang-undang senjata api yang ketat di Singapura.

Dia turut meneroka kemungkinan membuat bom jenis Triacetone Triperoxide (TATP) dan meniru cara Tarrant membakar masjid-masjid di Christchurch menggunakan gas. Namun dia tidak meneruskan idea tersebut atas sebab logistik dan bimbang keselamatan dirinya.

Dia akhirnya memilih parang machete sebagai senjata. Untuk mempersiap dirinya, remaja itu menonton video-video YouTube dan berasa yakin bahawa dia boleh menusuk tepat pada bahagian pembuluh darah mangsanya dengan mengelar bahagian leher dan dada mangsanya.

Advertisements

Semasa ditangkap oleh ISD, remaja itu sudahpun menemui parang yang mahu digunakannya di laman Carousel tetapi belum membelinya.

Remaja itu juga meniru Tarrant dengan menyiapkan dua dokumen yang mahu diagihkan sebelum dia melancarkan serangan.

Pertama adalah mesej kepada rakyat Perancis, yang ditulis selepas serangan ke atas masyarakat Kristian di sebuah gereja di Nice, Perancis pada 29 Oktober 2020.

Dalam mesejnya, dia menggesa orang Perancis supaya “perjuangkan kebenaran” dan mendakwa bahawa “kita tidak boleh membiarkan mereka (Muslim) berada di samping kita dan menunggu hingga mereka menyerang (kita)”.

Remaja itu menyifatkan serangan yang mahu dilancarkan sebagai “pembunuhan besar-sesaran”, “dendam” dan “seruan untuk berperang” menentang Islam.

Dokumen kedua, yang masih belum habis ditulis semasa ditangkap, adalah manifetso yang memberikan perincian rasa bencinya terhadap Islam dan dia percaya bahawa “keganasan tidak sepatutnya dihuraikan menerusi keamanan” kerana meskipun keamanan itu “baik dari moral” ia “tidak berkesan”.

Dia juga melahirkan harapan bahawa “perbuatan ekstrem yang saya lakukan” akan mengubah mereka yang percaya bahawa fahaman pelampau Islam adalah benar”.

Draf dokumen itu sebahagian besarnya meniru penulisan Tarrant dan menyifatkan Tarrant sebagai “keramat” dan serangan di Christchurch itu sebagai “wajar membunuh Muslim”.

Perancangan dan persediaan teliti remaja itu mencerminkan kesungguhannya untuk meneruskan rancangan melancarkan serangan itu.

Semasa sisatan, dia mengaku meramalkan dua akibat daripada perancangannya itu.

Sama ada dia ditangkap sebelum dapat melancarkan serangan itu atau dia dapat melancarkan serangan tersebut namun kemudian mati di tangan polis.

Menerusi siasatan ISD, remaja itu didapati bertindak sendirian. Tiada tanda menunjukkan dia cuba mempengaruhi orang lain mengenai fahaman ekstrem yang dipegangnya atau melibatkan sesiapa dalam perancangannya.

Anggota keluarga dan kenalannya tidak mengetahui rancangannya untuk melancarkan serangan mahupun rasa benci yang mendalam terhadap Islam.  

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan