25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Usaha perkasa perniagaan bumiputera mesti holistik

Mesti Baca

PETALING JAYA – Dewan Perdagangan & Industri ASEAN (DPIA) menyokong Belanjawan 2021 dan mahu usaha memperkasakan perniagaan golongan bumiputera dibuat secara holistik di seluruh negara.

Presiden DPIA, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, usaha murni kerajaan untuk mengangkat golongan bumiputera itu tidak boleh dimonopoli oleh golongan tertentu, sebaliknya perlu sampai kepada kumpulan sasar secara menyeluruh.

“Dana sebanyak RM4.6 bilon yang diperuntukan untuk memperkasakan golongan usahawan ini harus diagih secara sama rata.

“Kita tidak mahu hanya kelompok tertentu saja yang menerima manfaatnya, apatah lagi dalam situasi sukar ketika pandemik COVID-19 ini.

“Ramai usahawan kini berdepan risiko gulung tikar, jadi peruntukan ini diharap dapat menyelamat kumpulan peniaga ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas tentang Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.

Dalam pada itu, Sohaimi berkata, agensi pelaksana seperti TEKUN dan PUNB yang menguruskan dana RM510 juta bagi pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) harus mengurangkan kerenah birokrasi dalam agihan dana kepada peniaga.

Menurut beliau, kedua-dua agensi itu harus memudahkan urusan permohonan oleh pemohon untuk menerima dana berkenaan.

“Sebagai agensi pelaksana, mereka tidak perlu merumitkan urusan permohonan di mana kita tahu dalam tempoh PKP ini ramai pemohon memerlukan suntikan modal dalam kadar segera.

“Kita mahu urusan yang cekap dan pantas untuk agihan secara telus kerana masih ramai golongan peniaga yang terjejas akibat COVID-19,” jelasnya.

Sohaimi turut mencadangkan agar laman sesawang khas diwujudkan untuk rujukan umum bagi melancarkan hubungan dua hala antara pemohon dan agensi pelaksana.

“Kita mahu ada satu platform khas untuk pemohon membuat rujukan secara efisien dan melancarkan komunikasi dengan pemohon,” katanya.

Tambah Sohaimi, beliau menyambut baik peruntukan RM100 juta kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menggerakkan aktiviti badan berkenaan.

“Menerusi peruntukan ini NGO dapat menggerakan aktiviti sosial seperti membantu golongan miskin bandar dan pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan