31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kerajaan kekurangan masa, Najib janji BN buat sesuatu jika ‘ditipu’

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) menyokong Belanjawan 2021 kerana percaya kerajaan kekurangan masa untuk membetulkan bajet jika ia digagalkan, hari ini.

Najib yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) berkata, beliau faham ada yang kecewa terutamanya dua tuntutan utama untuk BN menyokong belanjawan itu masih belum sempurna, tetapi Perikatan Nasional (PN) berkata mereka akan berusaha memperbaikinya.

Namun kata Najib, beliau dan BN akan terus menuntut kerajaan PN untuk tepati janji mereka sehingga kedua-dua isu tersebut diselesaikan sebaiknya.

“Kerajaan PN juga memberitahu kita bahawa mereka masih akan berusaha untuk memperbaiki kedua-dua perkara ini.

“Jika hasrat kami masih tidak tercapai dan kami masih rasa tertipu selepas satu tempoh masa yang munasabah maka BN masih berpeluang untuk membuat sesuatu kelak,” tulisnya di Facebook hari ini.

Najib menegaskan, kini hanya tinggal dua minggu lagi sebelum 2021 bermula, dan dengan sokongan BN memastikan Belanjawan lulus, perbelanjaan kerajaan akan berjalan.

Jelasnya, jika bajet tak lulus hari ini maka kerajaan susah untuk berfungsi dalam tempoh dua minggu lagi.

Najib selain itu mengingatkan, tidak benar BN memberi harapan palsu kepada ramai yang meminta sebab jelas ada kemajuan dalam dua tuntutan mereka iaitu kemudahan mengeluarkan caruman Akaun 1 KWSP dan lanjutan moratorium ke atas pembayaran balik pinjaman bank.

“Dalam isu pengeluaran Akaun 1 KWSP, perlu ingat BN perjuangkan daripada tidak diberi langsung sebelum Belanjawan 2021 ke 600,000 orang diberi, ke dua juta orang diberi, dan akhirnya ke lapan juta ahli yang layak sekarang.

“Kategori 1 sudah elok. Kini cuma tinggal Kategori 2 untuk ditambahbaik,” katanya.

Dalam isu lanjutan moratorium pula, Najib menjelaskan, BN perjuangkan daripada tiada moratorium ditambah sebelum belanjawan, ke moratorium diberi cuma kepada golongan B40, dan akhirnya ke kelulusan automatik diberi tanpa dokumen kepada sesiapa daripada golongan B40, M40, dan perniagaan kecil sederhana yang memohon.

“Namun masih ada kekurangan dari segi implementasi dari bank-bank yang degil.

“Saya dan kami akan terus menuntut kerajaan PN untuk tepati janji mereka sehingga kedua-dua isu ini diselesaikan sebaiknya,” tambah beliau.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan