31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Bukti tindakan PN ambil kira kesejahteraan rakyat, pemulihan ekonomi

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, sokongan padu ahli-ahli Parlimen kerajaan kepada Belanjawan 2021 membuktikan Perikatan Nasional (PN) sentiasa mengambil kira kebajikan, keselamatan nyawa, kesejahteraan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara dalam apa sahaja tindakan yang diambil.

Perdana Menteri berkata demikian dalam satu kenyataan melalui laman Facebook beliau malam ini beberapa jam selepas belanjawan tersebut diluluskan di Dewan Rakyat melalui undi belah bahagi dengan 111 Ahli Parlimen kerajaan menyokong manakala 108 ahli Parlimen pembangkang tidak menyokong ketika Bacaan Kali Ketiga.

Berikut kenyataan penuh beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh;

Alhamdulillah, saya sekali lagi melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT apabila Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menyokong Belanjawan 2021 dari peringkat dasar, peringkat jawatankuasa sehingga kepada bacaan kali ketiga.

Saya juga ingin merakamkan rasa terima kasih kepada semua Ahli Parlimen kerajaan yang turut menyokong rang undang-undang ini ketika dibahaskan pada peringkat 27 kementerian sehingga diluluskan sama ada menerusi undian suara atau belah bahagi.

Sokongan padu ini membuktikan Kerajaan PN sentiasa mengambil kira kebajikan, keselamatan nyawa, kesejahteraan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara dalam apa sahaja tindakan yang diambil.

Ini juga membuktikan ahli-ahli Parlimen yang menyokong menyedari dan menginsafi bahawa belanjawan ini sangat penting kepada kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan yang sudah dirancang dengan keutamaan sudah tentunya untuk melawan pandemik COVID-19 serta meningkatkan taraf hidup rakyat seluruh lapisan masyarakat terutama golongan B40, M40, golongan rentan serta golongan kurang bernasib baik.

Pendirian ahli-ahli Parlimen yang menyokong belanjawan ini turut membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu belanjawan ini diluluskan tanpa gangguan lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan ancaman COVID-19.

Saya harap ahli-ahli Parlimen dapat terus memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat dan negara.

Saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada YB Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan yang bekerja keras menyediakan Belanjawan 2021 ini dari peringkat awal sehingga diluluskan hari ini.

Terima kasih juga kepada seluruh rakyat yang dengan ikhlas mendoakan agar Belanjawan 2021 ini diluluskan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup mereka.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan