25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Terbang tanpa destinasi jadi trend di Hong Kong

Mesti Baca

HONG KONG – Ketika banyak pesawat syarikat penerbangan di seluruh dunia tersadai di lapangan terbang ekoran sekatan udara disebabkan wabak COVID-19, lain pun halnya di Hong Kong.

Media antarabangsa melaporkan warga Hong Kong kini gembira menyertai trend terbaharu ‘bercuti’ dengan menaiki pesawat dan terbang tanpa destinasi semasa pandemik berkenaan.

Dianggarkan kapal terbang Hong Kong Airlines penuh dengan 100 penumpang untuk menikmati pemandangan wilayah itu dari udara sambil melihat panorama matahari terbenam.

Tiket bagi penerbangan hanya selama 90 minit itu malahan habis dijual dalam masa setengah jam waima harga paling murah adalah AS$110 (RM458) hingga tertinggi mencecah AS$150 (RM625).

Daya tarikan itu susulan langkah serupa yang dilakukan syarikat penerbangan tambang murah tempatan, HK Empress apabila berjaya menjual semua tiketnya bagi pengalaman serupa.

Dengan industri penerbangan global berada dalam krisis teruk kerana isu COVID-19, banyak operator udara lain di Asia selain Australia mula menawarkan pakej penerbangan singkat.

Ia bermula dan berakhir di lapangan terbang yang sama bagi beri peluang pelanggan yang rindu suasana dalam pesawat selain dapat merasai hidangan eksklusif ketika penerbangan.

Advertisements

Baru-baru ini, dunia gempar apabila syarikat penerbangan tertua Hong Kong, Cathay Pacific terpaksa membuang hampir 9,000 kakitangan atau 24 peratus daripada keseluruhan petugasnya.

Malah, operator ternama ditubuhkan sejak 1946 itu juga bertindak menutup langsung syarikat penerbangan Cathay Dragon miliknya pada 21 Oktober lalu setelah 35 tahun ia beroperasi.

Ironi, ada aktivis iklim di Hong Kong mula menyuarakan kebimbangan mereka mengenai kesan negatif Hong Kong Airlines terhadap alam sekitar setempat terutamanya bunyi bising pesawat.

Menurut mereka, penerbangan ‘pantas’ seperti itu bukan sahaja tidak perlu, bahkan hanya menyumbang kepada pencemaran udara hasil daripada pengeluaran bebas gas rumah hijau.

Mungkin syarikat-syarikat penerbangan di Malaysia juga boleh melakukan inisiatif yang serupa bagi menjana semula pendapatan yang terjejas sejak pandemik COVID-19 melanda di seluruh dunia.

Namun aktiviti penerbangan singkat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat agar tidak mencetuskan ‘kluster kapal terbang’ pula. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan