30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Belanjawan 2021: Terubatkah ‘sakit rakyat’?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

BERAKHIR sudah debaran rakyat menunggu Belanjawan 2021. Pelbagai harapan dinantikan yang pastinya berbeza dengan tahun-tahunsebelumnya.

Jika dahulu, rakyat sekadar menunggu ‘durian runtuh’ kerana asas ekonomi majoriti rakyat masih kukuh. Justeru apa juga pengumuman belanjawan baru, hanyalah sekadar bonus untuk menambah apa yang ada.

Namun kali ini, harapan dinanti amat berbeza kerana seluruh dunia sedang berdepan dengan dua ‘penyakit’ utama iaitu wabak Covid-19 dan impak Covid-19 yang memberi kesan buruk yang besar kepada keseluruhan rakyat jelata. Cuma dalam konteks Malaysia pula, satu lagi penyakit tambahan ialah situasi politik yang tidak stabil.

Meneliti Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia, secara jujurnya saya menganggap belanjawan kali ini adalah bertepatan dengan usaha kerajaan menangani wabak Covid-19 dan kesan atau impak Covid-19 kepada ekonomi negara.

Ini dapat dibuktikan dengan penegasan pertama ialah usaha-usaha belanjawan yang menjurus kepada mengekang wabak Covid-19 dengan peruntukan besar iaitu sekitar RM1 bilion.

Manakala kesan ekonomi yang begitu terasa ialah isu pengangguran yang meningkat kepada 850 ribu orang sekarang dan silap gaya akan terus meningkat dalam masa terdekat.

Oleh itu pelbagai langkah telah diumumkan seperti insentif dan inisiatif menyediakan peluang pekerjaan, latihan kemahiran semula atau kemahiran baru, skim galakan majikan mengekalkan pekerjaan dalam pelbagai dana yang disediakan.

Program TVET sahaja sudah mencecah RM 6 billion, termasuklah dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang pertama kalinya diumumkan secara terus bernilai RM 300 juta untuk pinjaman pelatih pada tahun hadapan.

Sektor pekerjaan adalah kebajikan rakyat yang mesti dijaga kerana sektor ini bukan sahaja menjamin kepentingan sosioekonomi tetapi juga menentukan kesan ekonomi berganda yang akan menentukan kuasa beli rakyat, seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.

Saya mengakui, terdapat pelbagai pengumuman semua sektor lain iaitu pertanian, pelaburan, industri dan kesejahteraan sosial seperti pendidikan yang telah diumumkan secara adil yang terus terang saya katakan pada kedudukan markah keseluruhan Belanjawan 2021 ini kepada B+ sahaja.

Advertisements

Secara peribadi, Belanjawan 2021 boleh diberi markah A jika beberapa perkara berikut sepatutnya diberi perhatian juga.

Pertama – Bagaimana hendak memastikan galakan perbelanjaan secara proaktif di peringkat kerajaan dan rakyat (meningkatkan kuasa beli) benar-benar berlaku segera dan konsisten?

Kedua – Memastikan kecairan dan rangsangan ekonomi berlaku supaya usahawan mendapat peluang pasaran dan perniagaan khususnya di peringkat domestik.

Contoh utama ialah sektor pelancongan. Sewajarnya skim insentif subsidi melancong diberikan kepada kumpulan NGO dan pemain industri pelancongan supaya kegiatan pelancongan dapat diaktifkan semaksimum mungkin.

Ketiga – Insentif sektor-sektor tenaga kerja kritikal seperti bidang perladangan yang berdepan dengan masalah pekerja asing akibat penutupan sempadan. Sewajarnya lebih banyak insentif yang menarik minat pekerja tempatan bekerja di sektor perladangan.

Akibat PKP, sektor perladangan telah kerugian berbilion ringgit kerana masalah pekerja. Lebih malang, mereka gagal memanfaatkan peluang harga sawit yang semakin tinggi pada masa ini.

Keempat – Sewajarnya diumumkan usaha memastikan bajet dilaksanakan dengan cepat, cekap dan berkesan memandangkan impak covid memberi kesan amat besar dan berlaku begitu pantas/ unprecedented.

Justeru, saya berpandangan, jika kerajaan telah mengadakan inisiatif dialog dan engagement ketika proses mendapatkan maklum balas dalam pra belanjawan, mengapa tidak sekarang diwujudkan pula inisiatif engagement post Belanjawan 2021.

Ia supaya pelaksanaan belanjawan itu 2021 benar-benar dapat merawati rakyat yang sudah menerima pelbagai sakit berangkai iaitu wabak covid-19,impak ekonomi akibat covid-19 dan penyakit politik yang selalu dalam keadaan tenat.

Kita bimbang Belanjawan 2021 tidak mampu mengekang dan mengimbangi impak ekonomi dan sosial yang lebih buruk dalam masa terdekat dan masa depan akibat Covid-19.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi9.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan