29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

MCW pandang serius kepincangan di pintu sempadan negara

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

KUALA LUMPUR – Malaysia Corruption Watch (MCW) memandang serius pendedahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang kepincangan di pintu sempadan negara sepertimana laporan media berkaitan Ops Selat.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya percaya kelemahan sistem pengurusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan nipisnya integrasi pegawai-pegawainya menjadi faktor sehingga mereka sanggup bersekongkol dengan kegiatan sindiket kemasukan warga asing ke dalam negara secara haram.

Menurut beliau, cadangan mewajibkan pemakaian kamera badan adalah solusi terbaik memandangkan impak sistem ini telah terbukti berkesan di Amerika Syarikat dan semua negara Eropah.

“Selain itu, MCW juga mencadangkan paspot Malaysia yang tamat tempoh perlu diserahkan kembali kepada Jabatan Imigresen bagi memastikan tidak diguna pakai sebagai pemalsuan data,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasil ops tersebut, SPRM mendedahkan terdapat lebih 30,000 warga asing bolos dan RM14.5 juta wang sogokan diberikan kepada kakitangan JIM dalam tempoh empat tahun.

Angka itu diperoleh hasil penahanan 27 pegawai JIM yang mendedahkan aktiviti rasuah menerusi proses ‘setting’ kaunter sejak 2017.

Jais berkata, MCW juga mencadangkan agar JIM mengeluarkan kad pengenalan khas untuk setiap pemegang paspot asing yang masuk ke negara ini.

“Laksanakan sistem pengesan khas imigresen dalam paspot pekerja asing yang masuk ke Malaysia supaya tiada penipuan atau pemalsuan maklumat yang memerlukan ‘kawtim’ menggunakan ‘kuasa’ manusia.

“Selain itu penggunaan ‘barcode stamp’ sistem bagi menggantikan cop keselamatan di kaunter imigresen juga wajar dilaksanakan,” katanya.

Tambah beliau, JIM wajar mengeluarkan sijil menduduki premis atau sijil kebenaran menduduki atau menyewa premis kepada warga asing.

“MCW amat yakin sekiranya cadangan-cadangan ini dapat dilaksanakan dengan baik, kita mampu menutup ruang atau peluang kemasukan pendatang asing tanpa sempadan secara haram.

“Penguatkuasaan undang-undang dalam hal ini perlu diberi perhatian serius bagi membendung salah laku rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam JIM,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan