27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

CIA gelar Senoi Praaq ‘pembunuh senyap’

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Gelaran silent killer (pembunuh senyap) diberikan kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq oleh Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) kerana ketangkasan, keberanian dan kemahiran ilmu hutan mereka yang tinggi selain tidak gentar berdepan musuh.

Sarjan Baharuddin Ramli, 54, yang terkorban dan rakannya Sarjan Norihan Tari, 39, cedera parah, selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS-9 di Padang Besar, Selasa, adalah anggota pasukan itu yang sebahagian daripada Batalion 3 PGA, berpangkalan di Bidor, Perak.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA, Superintendan Rosman Kasman memberitahu Bernama, sejarah gelaran itu bermula apabila Senoi Praaq yang bermaksud ‘Orang Perang’, ditugaskan ke selatan Thailand pada 1960 untuk memujuk lebih 3,000 Orang Asli yang tinggal di sana membantu dalam pemburuan pemimpin komunis Soo Ah Chye di sana.

Beliau berkata, pada 1964, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Leftenan Kolonel R.O.D. Noone yang juga pengasas Senoi Praaq, bersama-sama sekumpulan anggota Senoi Praaq dihantar ke Pleiku, Vietnam atas permintaan pemimpin negara berkenaan ketika itu bagi melatih kumpulan masyarakat asli di sana.

Mereka diminta melatih cara-cara menentang komunis secara heart and mind sebagaimana yang dijalankan dengan jayanya di negara ini semasa melawan komunis ketika darurat.

“Mereka bertanggungjawab membentuk pasukan Montagnard Scouts di bawah MSP (Mountain Scout Program) kendalian CIA dengan kerjasama Briam (British Advisory Mission).

“Di sanalah mereka mendapat gelaran The Silent Killer oleh CIA dan mereka juga pernah digunakan secara rahsia dalam menjalankan misi-misi sulit di Laos,” kata Rosman.

Menurutnya, selepas 11 bulan menjalankan misi-misi sulit itu, pasukan Senoi Praaq terbabit pulang ke tanah air dan di sepanjang perjalanan itu mereka menggempur musuh.

“Ramai juga anggota Senoi Praaq yang terkorban dalam perjalanan balik dan peristiwa itu disematkan dalam sebuah buku berjudul Death Waits in the Dark: the Senoi Praaq, Malaysia’s Killer Elite,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan unit elit berkenaan pada Mei 1956 oleh Noone dibuat atas arahan pihak British berdasarkan keperluan untuk mengadakan satu kumpulan Orang Asli beroperasi di kawasan hutan pedalaman bagi memenangi hati Orang Asli yang dipercayai terpengaruh oleh propaganda komunis pada ketika itu.

Beliau berkata, selain itu, pada 1957, British Army 22 Special Air Service Regiment (SAS) memberi pengiktirafan kepada pasukan Senoi Praaq dengan pemakaian ‘Beret Merah’ atas kejayaan cemerlang unit tersebut dalam setiap operasi membanteras komunis.

Menurutnya, sejak penubuhan unit Senoi Praaq itu, pelbagai kejayaan dilakar dan mereka banyak terbabit dalam pelbagai operasi, antaranya Op Bamboo yang juga operasi tertua dilaksanakan oleh pasukan keselamatan negara yang dilancarkan pada Oktober 1959 di Perak dan berakhir pada 2 Dis 1989 susulan pemeteraian perjanjian damai.

“Seperti mana yang kita ketahui, penugasan Op Bamboo bertujuan mengekang pergerakan dan memusnahkan ancaman musuh nombor satu negara ketika itu iaitu komunis. Di sinilah kepakaran Senoi Praaq diperlukan bagi membantu menjejaki komunis-komunis di dalam hutan tebal,” katanya.

Sungguhpun ancaman komunis telah berakhir, khidmat Senoi Praaq sentiasa diperlukan dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan tanah air di sempadan negara selain menyertai misi mencari dan menyelamat orang hilang di hutan.

“Antaranya, pasukan Senoi Praaq ini terbabit dalam misi pencarian seorang remaja perempuan warga Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin yang hilang di Negeri Sembilan pada Ogos tahun lepas, selain digunakan bagi mengesan pemburu haram yang merosakkan flora dan fauna pada Oktober tahun lepas,” katanya.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan