KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan sokongan yang diberikan oleh Ahli-ahli Parlimen terhadap Belanjawan 2021 membuktikan kematangan mereka dalam membuat keputusan penting dengan meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai mendahului perkara-perkara lain.
Perdana Menteri berkata, beliau bersyukur dan berterima kepada semua ahli Parlimen terutamanya Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah memberi sokongan menyokong belanjawan sehingga diluluskan di peringkat dasar.
“Belanjawan 2021 merupakan belanjawan terbesar dan sangat pentimg kepada negara dan sokongan ini membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan perbelanjaan untuk tahun hadapan dengan teratur dan lancar.
“Ini membuktikan Kerajaan PN amat prihatin mendengar keluh kesah rakyat dan amat responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu rakyat memulih dan menjana semula ekonomi negara yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Muhyiddin, beliau tersentuh dengan pendirian Ahli-ahli Parlimen yang menyokong belanjawan ini sekali gus membuktikan mereka menjunjung titah Yang di-Pertua Agong yang mahu ahli-ahli politik mengetepikan sementara politiking bagi membolehkan belanjawan ini diluluskan tanpa gangguan lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang bergelut dengan ancaman Covid-19.
“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan PN adalah sebuah kerajaan yang sentiasa bersikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan, teguran dan kritikan. Semoga Belanjawan 2021 ini akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan negara,” katanya.
Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang telah bertungkus lumus menyiapkan penggulungan belanjawan dengan beberapa penambaikan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Penambaikan ini telah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli-ahli Parlimen yang mengambil bahagian ketika perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan 2021 ini dijalankan,” katanya. – Edisi 9