25 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Bunuh Koperal Baharuddin, 18 lelaki direman

Mesti Baca


KANGAR – Tiga warga Thailand merupakan antara 18 lelaki yang direman antara empat hingga tujuh hari bermula hari ini, selepas disyaki terbabit dalam kejadian serangan ke atas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Padang Besar, dekat sini, semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah selepas mendapat permohonan polis bagi menyiasat semua suspek berusia antara 19 hingga 37 tahun berkenaan.

Memetik Harian Metro, tiga lelaki warga Thailand yang ditahan polis dalam operasi khas sejak semalam direman selama tujuh hari, manakala 15 warga tempatan direman empat hari.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Difahamkan, warga tempatan ditahan itu menjadi antara ahli sindiket penyeludupan dadah dan ketum yang aktif di sempadan Malaysia-Thailand.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, semua tangkapan dibuat di sekitar negeri ini mulai  pukul 7 pagi semalam.

Beliau berkata, semua suspek dipercayai menjadi anggota sindiket penyeludupan ketum yang mempunyai kaitan dengan sindiket di negara jiran.

Baharuddin Ramli

Dalam kejadian pada pukul 3.10 pagi semalam, anggota PGA, Koperal Baharuddin Ramli, 54, meninggal dunia di lokasi, manakala rakannya, Koperal Norihan A/L Tari, 39, parah.

Dalam perkembangan berkaitan, isteri mendiang Koperal Baharuddin Ramli menyifatkan suaminya sebagai seorang wira.

Relow Ko, 48, berkata,kematian suaminya sangat menyedihkan namun dia berbangga kerana suami meninggalkan mereka ketika bertugas untuk keamanan dan keselamatan negara.

Menurutnya,dia dimaklumkan mengenai insiden menimpa suaminya itu pada pukul 4.30 pagi oleh seorang rakan yang datang ke rumahnya di Kompleks Perumahan Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor, di sini, semalam.

“Sewaktu kawan sampai, dia senyap bila saya tanya kenapa. Dia tunjuk mesej WhatsApp kepada saya beritahu apa jadi kepada suami.

Advertisements

“Waktu itu saya rasa kosong sebab awal pagi, saya terkejut,” katanya kepada Bernama.

Baharuddin, 54, terbunuh dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, manakala rakannya, Koperal Norihan a/l Tari, 39, parah dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis.

Mendiang yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia antara 18 dan 32 tahun.

Menurut Relow, mendiang suaminya yang bertugas dengan Batalion 3 (Senoi Praaq), Briged Utara, PGA terbabit dalam penugasan kawalan keselamatan Op Benteng di sempadan sejak 1 November lalu dan dijadual berakhir hujung bulan ini.

Beliau berkata, mendiang suaminya yang mula berkhidmat sebagai anggota polis ketika usia 19 tahun merancang untuk bersara empat tahun lagi dan berhasrat balik ke Bahau untuk bersama keluarga.

Bercerita mengenai peribadi suaminya yang berasal dari suku kaum Semelai, Relow berkata, mendiang seorang yang suka bercucuk tanam dan tegas terhadap anak serta keluarga.

Katanya, beliau tidak nampak sebarang perubahan ketara kepada mendiang suaminya sebelum keluar untuk tugasan kali ini, sebaliknya beliau berasakan sentiasa tidak sedap hati, malah sukar untuk tidur malam.

Sementara itu, anak sulung mendiang, Shahrul Epanddy, 32, menyifatkan pemergian ayahnya sebagai wira negara.

“Saya anggap dia bukan mati sia-sia. Dia wira saya. Dia meninggal ketika mempertahankan negara. Sepupu saya yang turut bertugas di operasi sama memaklumkan ayah saya meninggal dalam keadaan tenang dengan raut wajah tersenyum,” katanya.

Berkongsi kenangan bersama ayahnya, Shahrul Epanddy berkata, kali terakhir mereka bertemu pada Ogos lalu di Bahau, namun tiada pelik tanda-tanda seakan mereka tidak akan bertemu lagi buat selamanya.

Mendiang Baharuddin akan disemadi di kampung halamannya esok.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan