KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menafikan dakwaan institusi pengajian tinggi itu akan memberhentikan 600 pensyarah sambilannya sebagaimana lapor sebuah portal berita semalam.
Dalam satu kenyataan, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim menegaskan, laporan bertajuk “UiTM re-assesses 600 part-time lecturers after funding cut” itu telah disalah tafsir dan mengelirukan pelbagai pihak.
Jelasnya, untuk makluman semua, pengambilan pensyarah sambilan di UiTM untuk setiap semester adalah berdasarkan kepada keperluan program dan subjek di setiap fakulti.
“Jadi, jumlahnya adalah berbeza pada satu-satu semester dan laporan yang mengatakan bahawa UiTM memberhentikan pengambilan pensyarah sambilan amat dikesali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Azraai memberitahu, beliau dalam kenyataan bertulis UiTM kepada akhbar berkenaan juga tidak menyebut mengenai pemotongan belanjawan.
Oleh itu tegasnya, isu pemberhentian pensyarah sambilan ini tidak timbul sama sekali.
“UiTM sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi yang prihatin dengan pembangunan serta operasi universiti.
“Oleh itu, UiTM menegaskan institusi itu akan terus mendokong dan serta memastikan pendidikan bumiputera terus diperkasakan dalam mendepani cabaran norma baharu,” tambahnya.