TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lambang maruah dan kedaulatan bangsa yang mencerminkan jati diri rakyat Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen 152 Peringkat Kebangsaan 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam, Selangor hari ini.
“Bahasa Melayu merupakan lambang maruah dan kedaulatan bangsa. Ia adalah bahasa jiwa yang mengikat sejarah, membina pemikiran dan menzahirkan jati diri rakyat Malaysia,” katanya.
Zahid berkata, penganjuran konvensyen itu menjadi wadah untuk memperkukuh iltizam seluruh warga Malaysia dalam menjulang bahasa kebangsaan agar terus menjadi tunjang perpaduan negara.
Menurutnya, UiTM merupakan institusi yang membuktikan bahawa bahasa Melayu bukan penghalang kemajuan, sebaliknya menjadi jambatan hikmah yang membina martabat bangsa.
“UiTM lahir daripada perjuangan membangunkan ilmu bangsa dan kekal menjadi benteng pendidikan nasional,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada UiTM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas komitmen menganjurkan konvensyen yang menghimpunkan ahli akademik, penggubal dasar dan mahasiswa dalam memperkukuh ekosistem bahasa kebangsaan yang dinamik.
Zahid turut menyatakan harapan agar konvensyen tersebut menjadi pencetus kepada Gerakan Nasional Bahasa Melayu, sebagai kebangkitan baharu untuk mengembalikan roh bahasa sebagai bahasa ilmu, ekonomi dan diplomasi dunia.
“Saya yakin dengan semangat bersama, bahasa Melayu akan terus menjadi bahasa yang bermaruah dan disegani di peringkat antarabangsa. Insya-Allah,” katanya.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Ts Shahrin Sahib @ Sahibuddin. — Edisi 9

