PENGAJIAN Seni Liberal, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menganjurkan program OKU@Casa sempena Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Antarabangsa, bulan depan.
Koordinator Bidang Program Pengurusan Industri Kreatif, Dr. Hazlin Anita Zainal Abidin berkata, program itu bertujuan mengubah persepsi negatif terhadap komuniti ini dengan membentuk generasi muda supaya lebih peka terhadap keperluan OKU.
Beliau menambah, melalui sambutan program ini para pelajar didedahkan kepada Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) yang memperuntukkan hak dan keistimewaan bagi golongan OKU.
“Sekiranya golongan pelajar sebagai majoriti mampu memahami peranan mereka dalam menyokong golongan minoriti ini, maka ia mampu membawa perubahan besar kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, kata beliau, pendidikan seperti ini penting untuk melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global, tetapi kekal empati dan berintegriti, ujarnya.
Program yang akan berlangsung pada 16 hingga 18 Januari 2025 di Kampus UiTM Puncak Perdana itu diisi dengan pelbagai aktiviti.
Antaranya Trade-Sure Hunt: Hunt the Treasure yang mana program ini dianggap unik kerana kesedaran terhadap golongan OKU diangkat melalui check point yang perlu diselesaikan oleh setiap peserta.
Check point yang disediakan merangkumi kesedaran terhadap Dyslexia, OKU pendengaran, fizikal, percakapan dan lain-lain lagi.
Turut diadakan program Simfoni Tanpa Batasan, Tangan yang Melihat dan Emansipasi Unik: Insan Magis.
Maklumat lanjut berkenaan program boleh layari Instagram serenosproduction atau menghubungi Irman Shaufi Shariffuddin, Pengarah Promosi dan Publisiti Trade-Sure Hunt: Hunt the Treasure (019-8589429). – Edisi 9