28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

‘’Saya setia bersama UMNO, tak kan berpaling tadah’’ – Annuar

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun berhadapan dengan pelbagai tekanan dan cabaran dalam politik, beliau tidak akan berpaling tadah dengan meninggalkan UMNO.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh menegaskan, akan terus setia dengan parti itu dan sama sekali tidak akan menyertai Parti Bersatu.

“Kita ini kalau sudah kahwin seorang, tak payah berhasrat nak kahwin banyak. Kalau yang satu pun kita tak dapat nak urus, tak usah nak bercita-cita besar.

”Lagipun soal kesetiaan saya kepada parti, bagi orang dah lama dalam Umno, dia kenal siapa saya, bagi orang baru, mungkin kena fikirlah,” katanya dalam wawancara The MalaysianInsight malam tadi.

Annuar seterusnya menegaskan, beliau tetap bersikap sederhana dan tidak fanatik sehingga membenci semua orang, walaupun setia kepada UMNO.

“Saya kalah dalam pilihan raya, jatuh berkali-kali, tapi saya tetap tak tinggalkan UMNO,’’ katanya sambil menegaskan dalam politik ada turun naiknya.

Mengenai pembahagian kerusi antara UMNO, Pas dan Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15, Annuar berkata, UMNO perlu memikirkan peluang untuk menang di sesebuah kerusi, sebelum meminta Pas dan Parti Bersatu memberikan lebih banyak kerusi kepada parti itu.

Katanya, (walaupun) UMNO berhak bertanding lebih banyak kerusi pada PRU15, jika mengambil kira jumlah kerusi yang dimilikinya ketika ini berbanding rakan sekutunya tetapi parti itu juga perlu menimbangkan sama ada mereka boleh menang lebih banyak atau tidak.

Advertisements

“Di Sabah, kita nak banyak, orang bagi banyak, tapi akhirnya menang tak banyak. Apa yang penting, jumlah kerusi yang kita menang banyak,” katanya.

Walaupun mengakui pembahagian kerusi agak sukar melibatkan ketiga-tiga parti itu namun Annuar yakin ia boleh diselesaikan dengan baik.

“Saya lama jadi pengerusi perhubungan, terlibat soal memilih calon di Kelantan sampai malam terakhir, esok nak penamaan calon tak selesai lagi, itu sama-sama parti, apatah lagi kalau antara parti lain, ia tak mudah,” katanya.

Tegas beliau, kerjasama antara tiga parti itu tidak boleh dilihat hanya dari sudut pembahagian kerusi, sebaliknya ia lebih meluas, iaitu menyatukan parti politik Melayu menjadi lebih kuat dan demi agenda lebih besar.

“Bila kita muafakat, sudah tentu kena ada tolak ansur, kena ada prinsip kongsi. Bila kongsi, maknanya kena berkorban, kita kena korban, belah sana juga kena korban. Kita jangan putus asa, berusaha mencari titik persamaan.

“Kita kena lihat dari sudut gambaran lebih luas. Dalam PRU akan datang, kita harap jangan berulang apa yang berlaku PRU14, sebab kita sudah tengok keburukan yang menimpa akibat orang Melayu berpecah belah.

“Untuk mengelak apa yang berlaku pada PRU14, penawarnya kita mesti berusaha mewujudkan muafakat penyatuan dalam kalangan parti politik orang Melayu,’’ katanya.

Advertisements

Terkini

Tiga wanita antara terkorban nahas helikopter TLDM di Lumut

TIGA wanita yang menjadi penumpang helikopter HOM antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan