25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Kejujuran politik juga perlu wujud dan dipertahankan dalam UMNO

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

Baru-baru ini, dalam artikel penulis bertajuk ‘Jika ditinggalkan Pas, apa ‘strategi politik luar kotak’ UMNO? Antaranya penulis membangkitkan persoalan;

‘’Adakah slogan ‘No Anwar, No DAP’ akan berkekalan? Penulis melontarkan soalan ini kerana sudah ada cakap-cakap yang mahukan parti itu melakukan ‘strategi politik di luar kotak’ dengan turut mempertimbangkan kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan PKR yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP bagi menghadapi PRU-15.’’

Semalam , penulis membaca satu blog yang mendakwa berlaku gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) dalam kalangan ahli Parlimen UMNO.

Kalau membaca satu demi satu ayat berhubung gerakan tersebut, ‘naik bulu roma jugak’ sebab siap ada senarai nama Ahli Parlimen yang didakwa sudah menandatangani akuan bersumpah bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Malah turut diceritakan, bagaimana begitu tegasnya sebahagian besar ahli-ahli Parlimen UMNO menolak sebarang usaha untuk menjalinkan kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Penulis tidak tahu sejauh manakah kesahihan dakwaan tersebut dan tidak mahu mempercayainya kerana menganggap artikel itu sekadar satu analisis politik menjelang pengundian Belanjawan 2021 pada Khamis ini (tetapi khabarnya akan ditangguhkan ke minggu depan).

Lagi pula sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa pernah menyatakan kalau betul lah berlaku gerakan mahu menjalin hubungan dengan Anwar dan DAP, ia adalah satu kesalahan memandangkan dasar ‘No Anwar, No DAP’ sudah menjadi dasar besar kepada UMNO.

‘’Jadi dasar No Anwar, No DAP dipersetujui oleh Bersatu, dipersetujui oleh Pas, dipersetujui oleh UMNO, dipersetujui oleh parti-parti dalam Barisan Nasional maka ia dasar besar, ia bukan dasar kecil maka kalaulah betul ada gerakan-gerakan di belakang yang cuba membelakangkan soal ini, pada saya bukan saya yang meninggalkan dasar parti tetapi mereka yang meninggalkan dasar parti,’’ tegas Annuar.

Justeru tak kanlah ada mana-mana pemimpin UMNO yang berani melanggar dasar besar parti tersebut memandangkan ia bukan sahaja satu kesalahan tetapi juga boleh dianggap mengkhianati parti.

Lagipun gerakan berkenaan (kalau betul lah berlaku) adalah sesuatu yang tidak bermaruah kerana sanggup menggadaikan dasar parti atas alasan hanya mereka sendiri yang tahu.

Jika tidak berpuashati dengan layanan Bersatu atau Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia bukan alasan untuk melanggar dasar ‘No Anwar, No DAP’.

Apapun spekulasi seumpama ini tidak harus dibiarkan pemimpin dan ahli UMNO tidak kira peringkat mana pun harus mendesak supaya siasatan dijalankan bagi memastikan kesahihan laporan itu.

UMNO tidak boleh membiarkan spekulasi itu berterusan kerana ia boleh menjejaskan imej parti tersebut dan boleh menyebabkan ahli-ahli akar umbi tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku.

Diharapkan pemimpin-pemimpin yang sebelum ini begitu lantang mengkritik Annuar akan tampil menuntut supaya siasatan dijalankan kerana ini juga berkaitan dengan kejujuran politik yang begitu lantang disebut oleh mereka apabila menyentuh hubungan dengan Bersatu khususnya melibatkan Perdana Menteri.

Kejujuran politik sepatutnya bukan sahaja perlu digunapakai berkisar soal layanan yang diterima oleh UMNO dalam Perikatan Nasional tetapi juga harus dipastikan turut berlaku dan dipertahankan dalam UMNO itu sendiri.

Justeru itulah dakwaan berhubung gerakan tersebut perlu disiasat, walaupun penulis percaya tak kanlah ada pemimpin dalam UMNO yang mahu bersikap di depan cakap lain, di belakang cakap lain atau cakap lain, buat lain.

Jika ada pemimpin UMNO mendakwa Muhyiddin mengamalkan politik tikam belakang, rasanya kalau betullah wujudnya gerakan mahu bekerjasama dengan Anwar dan DAP itu lebih dahsyat lagi kesalahannya.

Ia memandangkan dalam soal hubungan dengan Bersatu tidak dapat dinafikan ada sebahagian ahli tidak berpuashati tetapi tidak mungkin mereka akan merelakan mana-mana pemimpin UMNO melakukan gerakan seumpama itu.

Sebab itulah seperti mana kata Annuar, UMNO perlu mempunyai ‘roadmap’ yang jelas sebelum UMNO turun ke gelanggang pilihan raya bagi mengelakkan akar umbi keliru.

Mereka perlu mengetahui hala tuju sebenar UMNO. Tidak boleh biarkan ada kekeliruan dalam soal hala tuju parti itu. Ada pemimpin mahu UMNO putuskan hubungan dengan Pas dan Bersatu, pemimpin lain pula mahu menjalin kerjasama dengan Pas, seorang lagi pemimpin mahu kekal bersama PN dan kini ada pula dakwaan wujud gerakan mahu bersekongkol dengan Anwar dan DAP. Semua ini hanya menampakkan UMNO semakin kelam kabut.

Apapun penulis percaya pemimpin UMNO tidak akan tergamak melakukan gerakan seperti mana dispekulasikan oleh blog berkenaan. Ia kerana Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri begitu tegas dalam memperkatakan soal kejujuran politik.

Oleh itu mana-mana pemimpin UMNO perlu memahami penegasan Presiden parti itu supaya tidak tergolong dalam perbuatan munafik dan mengkhianati parti sendiri.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan