28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Veveonah maafkan Zahidi, walaupun hatinya sangat kecewa

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin berasa sangat sedih dan kecewa dengan dakwaan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin kononnya dia tidak menduduki peperiksaan semasa merakam video yang tular dalam media sosial termasuk YouTube.

Kata gadis berusia 18 tahun itu, dia benar-benar bekerja kesan untuk menghadapi peperiksaan dalam talian sejak beberapa bulan lalu.

Malah, dia yang berasal dari Pitas, Sabah tidak menyangka video yang dirakamkannya dahulu boleh menjadi tular.

“Kali ini, saya tular lagi tetapi dengan kesan yang buruk. Saya tidak tahu bagaimana untuk menangani komen-komen negatif dan jelik dalam media sosial. Ia menyakitkan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, semalam.

Walau bagaimanapun, Veveonah berjiwa besar apabila menyatakan dia memaafkan semua kesilapan orang lain terhadapnya.

Namun, dia menyatakan perlu membuat kenyataan tersebut untuk membersihkan namanya.

“Terima kasih kepada semua yang masih bersama saya dan menyokong saya (Keluarga, rakan-rakan, pensyarah dan peminat),” katanya.

Dalam sidang Dewan Negara semalam, Zahidi berkata, hasil siasatan mendapati Veveonah yang juga seorang YouTuber tidak menduduki peperiksaan ketika video tersebut dirakam.

“Untuk pengetahuan Yang Berhormat, adik (Veveonah) yang tadi tersebut seorang YouTuber dan tidak ada peperiksaan. Kita dah semak dah. Dia hanya Youtuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.

“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita sebagai Yang Berhormat jangan mudah tertipu dengan YouTuber untuk membuat isu.

“Jadi, kita minta Yang Berhormat di kawasan yang tidak ada line atau blind spot (titik buta), maklumkan pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kita akan segera atasi masalah tersebut terutamanya dari segi pendidikan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang membangkitkan isu video Veveonah yang tular ketika bertanya tentang tindakan kerajaan bagi memastikan keseimbangan capaian internet di antara bandar dan luar bandar khususnya di Sabah.

Jawapan Zahidi dalam sidang Dewan Negara.

Pada malam yang sama, Zahidi membuat kenyataan meminta maaf terhadap Viveonah atas alasan beliau menerima maklumat yang tidak tepat ketika menjawab soalan tersebut.

“Merujuk kepada perbahasan di Dewan Negara hari ini, saya ingin membetulkan kenyataan mengenai adik Veveonah Mosibin tidak menjalani sebarang peperiksaan ketika video beliau belajar di atas pokok tular di media sosial.

“Saya telah mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan. Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin dan juga akan membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin nanti.

“Semoga adik Veveonah Mosibin terus maju jaya dalam setiap bidang yang diceburi,” katanya melalui Facebook.

Zahidi meminta maaf kepada Veveonah.

Kontroversi yang dicetuskan oleh kenyataan Zahidi telah mencetuskan kemarahan netizen terutamanya yang berasal dari Sabah. – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan