KUALA LUMPUR – Kenyataan terbaharu Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memutuskan keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian, kekal sebagai ahli parti itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor.
Ini kerana, jika keahlian Osman sebagai ahli Bersatu terhenti dan beliau menyertai Pakatan Harapan (PH), maka sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan tergantung.
Ini bakal menyaksikan jumlah kerusi diperoleh PH dengan Perikatan Nasional (PN) masing-masing terikat kepada 28 kerusi.
Terdahulu, laporan media awal hari ini yang memetik Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, keahlian Osman terhenti secara automatik selepas didapati melanggar Perkara 10.2.3 perlembagaan parti iaitu membantu kempen parti lawan.
Namun tidak lama kemudian, Megat Najmuddin menjelaskan, pihaknya akan memanggil bekas Menteri Besar Johor itu bagi menjawab tuduhan berhubung dakwaan membantu kempen calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim baru-baru ini.
“Kita tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa kerana ia akan menyebabkan DUN Johor tergantung dan akhirnya rakyat yang terkesan. Kita kena memberi keutamaan kepada rakyat.
“Buat masa ini, kita akan memanggil Osman supaya menghadap lembaga disiplin parti dalam tempoh terdekat. Kita akan mengeluarkan surat kepada beliau dan memberinya tempoh seminggu,” katanya.
Pada PRK DUN Slim, Osman didakwa turun berkempen membantu calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dakwaan itu berikutan penularan video memaparkan Osman dipercayai sedang berucap dalam kempen calon Bebas berkenaan di Slim.
Bagaimanapun, Osman mendakwa kehadirannya ketika itu sekadar bertemu rakan lama dan tiada kaitan dengan politik.
Persoalan kini timbul adakah lembaga disiplin membuat keputusan tanpa memikirkan nasib sebuah kerajaan yang dinaungi parti itu.
Parti itu juga tidak sewajarnya mendedahkan isu itu secara tergesa-gesa memandangkan Osman sendiri menafikan beliau dipecat.
“Saya masih ahli Bersatu dan saya juga tidak pernah menerima apa-apa surat berkaitan dakwaan pelucutan keahlian saya daripada parti,” kata Osman.
Menurutnya, laporan portal berita menyebut keahlian beliau terlucut serta-merta secara automatik kerana membantu kempen calon bebas pada PRK DUN Slim baru-baru ini, adalah tidak benar.
“Saya tidak ada dapat apa-apa surat berhubung pelucutan keahlian saya. Saya juga masih ahli Bersatu,” katanya.
Malah menurut Osman, beliau masih lagi ahli Bersatu dan belum menerima surat pelucutan keahliannya.
“Saya menyokong kerajaan sedia ada kerana saya masih ahli Bersatu,” katanya.
Jelas kenyataan Osman sudah cukup membuktikan komitmen beliau untuk kekal sebagai ahli Bersatu sekali gus mengukuhkan kedudukan kerajaan PN Johor.
Namun jika Osman dipecat keahlian,adalah elok sekiranya Pilihan Raya Negeri diadakan selaras dengan amaran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk membubarkan DUN serta-merta jika perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat negeri ini terus berlaku.
DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan ketika ini dengan PN menguasai 29 kerusi dan pembangkang, 27 kerusi.
Pecahan 29 kerusi PN iaitu 14 dimiliki UMNO, Bersatu (12), dua MIC dan satu PAS, manakala blok PH disumbang 14 kerusi melalui DAP, sembilan milik Parti Amanah Negara (AMANAH) dan empat PKR.