KETUA Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyelar tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengatakan bahawa kerajaan akan tumbang adalah perkara yang memalukan diri.
Katanya, Sanusi seperti biasa melakukan cubaan mencapai KPI bulanan dengan melakukan adegan adegan memalukan diri di hadapan khalayak umum.
“Kali ini, Sanusi dengan penuh berani dan yakin cakap kerajaan akan tumbang. Sanusi ni sebenarnya dia takut dengan bayang- bayang Perikatan Nasional (PN) sendiri.
“Mereka sedar mereka semakin hilang sokongan, jadi mereka jadi tak tentu arah dan malu dengan penyokong mereka,” katanya.
Beliau berkata, selepas 145 hari berlalu sejak Pilihanraya Negeri (PRN), rakyat sudah bosan dan tidak mahu lagi mendengar ‘countdown’ yang dilakukan oleh PN malah sokongan kepada Perdana Menteri semakin hari semakin bertambah.
“Cerita mereka nak jadi kerajaan ni bukan pertama kali, kalau ini drama TV, orang sudah tukar awal-awal siaran sebab skrip sama sahaja.
“Waktu PRN enam negeri, pun cakap nak tukar kerajaan, tapi sudah 145 hari sejak PRN, tapi apa yang berlaku? Tiada apa-apa.
“Malah selepas PRN, satu demi satu post ‘countdown’ mereka muat naik di sosial, kata kerajaan bakal bertukar 31 Ogos, tapi ni sudah 31 Disember apa pun tak jadi.
“Apa yang terjadi adalah, beberapa MP Bersatu sudah sokong dengan PMX, jumlah sokongan PMX semakin lama semakin bertambah, mereka sahaja dok berkurang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Merbok itu juga mengatakan bahawa Langkah Dubai yang dilakukan untuk menumbangkan kerajaan gagal dan amat memalukan.
“Lebih memalukan, Langkah Dubai yang mereka cuba buat ini gagal. Kerajaan tidak dapat ditumbangkan, malah pelan mereka untuk bawa masuk duit RM750 juta ke negara pun gagal kerana ketangkasan KDN bersama FBI, Interpol dan CIA menghalang usaha terbabit,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan hari ini sangat stabil kerana parti komponen sudah memberikan kesetiaan dan UMNO sendiri melalui Presiden parti itu mengatakan bahawa UMNO akan kekal bersama kerajaan Madani.
“Kerajaan Madani ini sangat stabil, bertepatan dengan analogi kerajaan atap konkrit yang digunakan oleh PMX. Parti-parti komponen kerajaan Madani sudah menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi.
“Premier Sarawak dan juga pemimpin GPS sendiri mengatakan Langkah Dubai ini adalah buang masa.
“Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi juga sudah menyatakan UMNO akan kekal bersama kerajaan Madani. Kita juga tahu, yang sibuk nak bekerjasama dengan PN ini bukan kem Zahid pun, jadi kegusaran itu tidak perlu ada.
“Kepada Sanusi dan seluruh PN, ikut dan dengarlah nasihat dan tulisan TG Hadi, orang yang sibuk mencari kesalahan kerajaan ini sama sahaja seperti ini lebih teruk dari beruk dan tupai.
“Oleh itu sudah-sudah lah jadi beruk dan tupai, jadi lah manusia yang normal dan rasional, hendak ubah kerajaan boleh, ubah sewaktu PRU nanti. Lawan cara anak jantan,” katanya.
Semalam, media melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengesahkan wujud rancangan di pihak PN untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, langkah itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti yang digunakan kerajaan Madani untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN. -Edisi 9