26.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024

Afidavit Zahid manifestasi usaha pembelaan terhadap Najib

Membuktikan Zahid melaksanakan amanah parti yang mahukan usaha pembelaan terhadap Najib diteruskan - Mahdzir Khalid

Mesti Baca

TINDAKAN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memfailkan afidavit tambahan bagi menyokong petisyen Datuk Seri Najib Razak berhubung kewujudan Titah Adendum merupakan manifestasi usaha pembelaan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia membuktikan bahawa Zahid yang juga Presiden UMNO itu melaksanakan amanah parti yang mahukan usaha pembelaan terhadap Najib diteruskan.

Selain itu, katanya, afidavit tambahan yang dibuat atas nama Timbalan Perdana Menteri itu adalah bukti bahawa Zahid memuliakan titah adendum Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang menyebut mengenai “tahanan rumah” kepada Najib.

“Dalam konteks ini, UMNO Kedah menjunjung kasih atas Titah Adendum YDP
Agong Ke-16 yang menurut afidavit tambahan itu sebagai Titah Prerogatif Diraja sama seperti Titah Utama dalam proses pengampunan yang dipohon oleh Datuk Seri Najib.

Advertisements

“Sehubungan itu, UMNO Kedah berharap, proses perundangan terbaharu yang diambil oleh Datuk Seri Najib dengan disokong oleh afidavit Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan dapat berjalan sesuai dengan lunas-lunas perundangan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, pihaknya percaya tindakan Zahid membuktikan beliau sentiasa konsisten berusaha dalam pembelaan terhadap Najib yang merupakan seorang bekas pemimpin negara.

“UMNO Terengganu memohon supaya pihak berkuasa melaksanakan Titah Adendum berhubung dengan pengampunan Datuk Seri Najib sesuai dengan proses perundangan negara agar perkara ini tidak menjadi polemik berpanjangan,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Rozi turut menggesa semua pihak bertenang dan menerima proses yang dibenarkan di bawah kuasa Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong seperti mana pengampunan yang pernah diberikan kepada individu-individu lain sebelum ini.

Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan