30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Ibu cuba bunuh diri lepas ragut nyawa lima anak

Mesti Baca

BERLIN – Sebanyak lima kanak-kanak ditemukan maut di sebuah pangsapuri barat Jerman semalam dengan media tempatan melaporkan kesemua mangsa dibunuh ibu mereka yang kemudiannya cuba membunuh diri dengan melompat di hadapan kereta api.


Wanita itu dilaporkan cedera parah akibat kemalangan itu dan diletakkan di bawah perlindungan polis.

Mayat tiga kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga tiga tahun dan dua kanak-kanak lelaki berusia enam dan lapan tahun ditemui di sebuah pangsapuri di bandar Solingen di North Rhine-Westphalia, kata polis kepada AFP.

“Kami dimaklumkan sebelum pukul 2.00 petang bahawa lima kanak-kanak meninggal dunia. 


“Buat masa ini kami percaya ibu berusia 27 tahun itu bertanggungjawab menyebabkan kematian anak-anaknya,” kata jurucakap polis Stefan Weiand.

POLIS sebuah pangsapuri di bandar Solingen di North Rhine-Westphalia.

Weiand berkata, suspek dipercayai melakukan perjalanan ke Duesseldorf dengan anaknya yang berusia 11 tahun dan sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada kanak-kanak itu menyaksikan percubaan ibunya itu.


Ujarnya, setibanya wanita  itu di Duesseldorf, dia kemudiannya melompat di depan kereta api, kira-kira 35 kilometer dari kediamannya dan mengalami kecederaan yang serius.


Anak lelaki wanita itu yang berusia 11 tahun dilaporkan selamat dan sedang dijaga oleh ahli keluarganya.


Menurut laporan Bild, nenek kanak-kanak itu menghubungi polis dan melaporkan bahawa anak perempuannya membunuh lima anaknya dan mungkin sedang melarikan diri dengan anak yang lain dengan niat untuk membunuh diri.


“Tragedi keluarga di Solingen sangat menyayat hati dan buat masa ini ingatan dan doa saya ditujukan kepada lima anak kecil yang nyawa mereka dirampas begitu awal,” kata Menteri Dalam Negeri bagi wilayah Rhine-Westphalia Utara, Herbert Reul, kepada agensi berita DPA.


Polis menambah, mereka sedang menyiasat kes itu. 

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan