KEMAMAN – Siapa sangka dari sebuah kelab bola sepak komuniti berpengkalan di bandar kecil di sini, Kerteh FC kini sudah mengatasi kemampuan kelab-kelab profesional tempatan, terutama segi pengurusan.
Buktinya, dalam tempoh setahun selepas penubuhan, Kerteh FC yang bersaing dalam M4 Liga Malaysia sudah mencipta kejayaan apabila muncul juara berganda Liga Amatur Terengganu (TAL) pada 2019.
Tidak cukup dengan itu, kelab tersebut ‘berani’ menggunakan khidmat bekas pengurus sukan antarabangsa kelab La Liga, RCD Espanyol, Oscar Reira sebagai Penasihat Teknikalnya.
Pelaburan kelab yang diuruskan oleh KAL Services Sdn Bhd itu berbaloi apabila Oscar berjaya ‘membawa’ Kerteh FC ke Eropah dan menjalinkan kerjasama dengan UE Sant Andreu dari Barcelona.
Pencapaian tersebut meletakkan Kerteh FC hampir setanding dengan Johor Darul Takzim (JDT) yang terlebih dahulu membina hubungan dengan kelab-kelab La Liga.
Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim berkata, banyak manfaat yang bakal diperoleh pihaknya hasil kerjasama yang dimeterai tersebut.
“Sant Andreu bakal membuka laluan kepada pemain muda tempatan untuk mengembangkan bakat mereka di Eropah menerusi kerjasama ini.
“Kami juga akan merebut peluang ini untuk memasarkan jenama kami di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
UE Sant Andreu, sebuah kelab dari bandar Sant Andreu di Bercelona ditubuhkan pada 1909 kini bersaing dalam Tercera Division, iaitu Divisyen 5 liga Sepanyol.
Pada musim 2019/2020, kelab itu berjaya menempat diri ke peringkat perlawanan play-off Segunda Division B tetapi tewas.
Sebelum ini Edisi 9 melaporkan Kerteh FC menjalinkan kerjasama dengan sebuah kelab dari Sepanyol tetapi tidak mendedahkan nama kelab tersebut.
Razeman berkata, kerjasama dengan Sant Andreu merupakan salah satu pelan jangka panjang Kerteh FC selain membawanya ke arah sebuah kelab bertaraf profesional.
Difahamkan Kerteh FC sepatutnya bersaing dalam kelayakan ke M3 tetapi malangnya semua perlawanan selain membabitkan Liga Perdana dan Liga Super dibatalkan ekoran wabak Covid-19.
Baru-baru ini Kerteh FC mengumumkan kejayaan meraih pendapatan lebih RM50,000 hasil penjualan lebih 1,000 helai jersi dan jumlah itu dijangka bertambah ekoran permintaan yang berterusan.
Kelab itu juga menjalankan perniagaan bidang pemakanan apabila menjadi pengedar produk-produk tempatan atas jenama “Kerteh FC” antaranya daging perap dan kerepek maruku. – Edisi 9