JUARA berganda Liga Amatur Terengganu (TAL) 2019, Kerteh FC mengorak langkah semakin jauh apabila menjalinkan kerjasama dengan sebuah kelab divisyen 4 Sepanyol.
Sumber memaklumkan Edisi 9, kedua-dua pihak difahamkan telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) baru-baru ini namun perincian perjanjian tersebut tidak didedahkan.
“Apa yang pasti kerjasama ini adalah langkah permulaan bagi para pemain Kerteh FC, khususnya para pemain muda untuk beraksi di Eropah.
“Walaupun kelab itu dari divisyen 4 Sepanyol tetapi jelas tahap permainan mereka mengatasi kelab-kelab liga utama kita,” kata sumber tersebut hari ini.
Difahamkan kerjasama Kerteh FC dengan kelab berkenaan hasil usaha Penasihat Teknikalnya, Oscar Reira.
Baru-baru ini Oscar yang juga bekas pengurus antarabangsa RCD Espanyol memberitahu Edisi 9 yang beliau mempunyai perancangan besar untuk dikemukakan kepada Kerteh FC.
Katanya, perancangan itu, jika dipersetujui oleh majikannya, akan menjadi projek ulung yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kelab bola sepak di Malaysia sebelum ini.
Bagaimanapun dia tidak mendedahkan perancangan tersebut dan berkata perkara itu akan diwarwarkan apabila tiba masanya.
Sumber itu berkata, Kerteh FC memang mempunyai perancangan besar dalam usaha mengembangkan lagi kelab tersebut selain melahirkan lebih banyak bakat-bakat muda tempatan dalam bola sepak.
Malah katanya, pelan perancangannya sudah lengkap dan hanya mendapatkan pelabur-pelabur yang berminat.
“Besar, memang besar bagi sebuah kelab bola sepak komuniti yang berpusat di sebuah daerah seperti Kerteh FC,” kata sumber tersebut tanpa mendedahkan jumlah pelaburan yang diperlukan.
Kerteh FC yang ditubuhkan pada 2018 sebelum menyertai TAL buat kali pertama pada tahun lalu dan terus muncul sebagai juara liga serta juara Piala TAL.
Kelab berpengkalan di Kerteh, Kemaman itu juga layak menyertai Piala FA tetapi tewas kepada Northern Lions dari Perlis dalam perlawanan pertama kalah mati itu. – Edisi 9