27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Israel mahu roboh masjid berhampiran Masjid Al Aqsa

Mesti Baca


RAMALLAH – Sebuah mahkamah Israel mengeluarkan perintah merobohkan sebuah masjid di pekan Silwan di Baitulmuqaddis Timur atas alasan ‘kekurangan permit pembinaan’, lapor media Palestin memetik penduduk tempatan.

Sebagai reaksi kepada notis perobohan itu, Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Agama di Gaza mengeluarkan kenyataan yang mengecam arahan itu dan memberi amaran kepada rejim terhadap pelaksanaannya.

Kementerian itu pada masa sama menggesa masyarakat antarabangsa, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melindungi tempat suci umat Islam di Baitulmuqaddis.

Menurut media tempatan sebagaimana lapor Al Jazeera, pihak berkuasa Israel memberi tempoh 21 hari kepada penduduk untuk mencabar arahan ke atas Masjid Qaqaa Bin Amr di pekan Silwan ataupun perintah itu akan dilaksanakan.

Dibina pada 2012, masjid dua tingkat itu mampu memuatkan ratusan jemaah pada satu-satu masa.

Arahan serupa pernah dikeluarkan pada 2015 namun tidak dilaksanakan.

Sejak tahun kebelakangan ini, peneroka haram Yahudi merampas penguasaan beberapa rumah milik penduduk Palestin di Silwan yang berhampiran dengan perkarangan Masjid Al Aqsa.

Pihak berkuasa Israel meningkatkan kempen perobohan di Baitulmuqaddis sejak kebelakangan ini memusnahkan puluhan rumah penduduk Palestin terutamanya di Silwan.

Advertisements

Menurut pertubuhan Ir Amim, pihak berkuasa rejim memusnahkan rumah penduduk Palestin di Baitulmuqaddis Timur secara signifikan pada kadar yang jauh lebih tinggi pada 2019 berbanding tahun sebelumnya.

Dalam laporannya, kumpulan itu berkata, sebanyak 104 unit rumah dimusnahkan pada 2019 berbanding 72 unit pada 2018.

Peningkatan sehingga 44 peratus itu menghentikan trend pengurangan perobohan antara tahun 2016 dan 2018.

Menurut Israel, rumah itu dimusnahkan kerana dibina secara haram dan perobohan dibuat atas arahan mahkamah.

Bagaimanapun menurut penduduk Palestin, mereka berdepan krisis perumahan meruncing berikutan keengganan Israel mengeluarkan permit pembinaan.

Tidak lama sejurus menawan Baitulmuqaddis Timur, Israel meluaskan sempadan perbandaran dengan mengambil tanah kosong yang kemudiannya dibina penempatan haram Yahudi yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa.

Pada masa sama, rejim menghadkan pembesarab perumahan penduduk Palestin memaksa kebanyakan mereka yang tinggal di kawasan sesak membina rumah tanpa kebenaran.

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan