27 C
Kuala Lumpur
Tuesday, January 21, 2025

Sabah : Kerajaan campuran lebih bermoral daripada lompat parti

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9


Sejak Mac lalu hinggalah minggu lepas, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal berkali-kali bercakap soal bagaimana perbuatan melompat parti dalam kalangan wakil rakyat di negeri itu harus dihentikan.

Alhamdulillah, baguslah kalau beliau ‘sudah insaf’ untuk menyedari bahawa perbuatan melompat parti adalah tidak bermoral setelah kerajaan negeri pimpinan beliau sebelum ini turut ditubuhkan dengan cara yang sama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Untuk rekod, Mohd.Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah pada 11 Mei 2018 apabila enam wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melompat parti.

Sebelum itu Tan Sri Musa Aman turut mengangkat sumpah setelah mendapat majoriti mudah 31 kerusi apabila dua ADUN daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di bawah pimpinan Datuk Seri Jeffery Pairin Kitingan menyatakan sokongan kepada Musa.

Sokongan itu membolehkan Musa menubuhkan kerajaan setelah keputusan PRU-14 mencatatkan BN Sabah dan Warisan masing-masing memenangi 29 kerusi.

Bagaimanapun Sabah akhirnya terpaksa mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila pada Julai lalu, berlaku kembali lompat melompat parti sehingga kerajaan negeri pimpinan Mohd.Shafie dikatakan sudah kehilangan sokongan.

Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal (duduk dua dari kiri) ketika menghadiri Majlis Mesra Bersama Presiden Parti Warisan sempena PRN Sabah.

Bagaimanapun Mohd.Shafie mengambil jalan selamat apabila memohon Yang Dipertuan Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN.

Bagi penulis itu tindakan yang tepat kerana rakyat bukan sahaja di Sabah malah di seluruh negara sudah bosan dengan isu lompat melompat parti tidak kira di manapun.

Mandat yang diperolehi daripada rakyat ketika pilihan raya seolah-olah menjadi ‘barang gadaian’ bagi kepentingan politik wakil rakyat terlibat dan anehnya, tanpa segan silu menyatakan mereka melakukannya demi rakyat.

Sebenarnya, lompat melompat parti bukan perkara baru di Sabah, malah ia seolah-olah menjadi ‘penyakit’ yang sukar diubati. Sejak 1985 lagi, arena politik negeri di bawah bayu itu sudah menyaksikan ‘penularan kluster’ berkenaan.

Bekas Ketua Menteri seperti Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Datuk Harris Salleh antara pemimpin Sabah yang pernah terlibat dalam menangani isu melompat parti khususnya pada pilihan raya 1985,1986.

Persoalannya, apakah fenomena ini akan berterusan apabila PRN Sabah selesai pada 26 September ini? Ia memandangkan PRN kali ini dianggap paling sengit apabila 447 calon bertanding bagi merebut 73 kerusi dan ia melibatkan pertandingan banyak penjuru termasuk paling ramai 11 calon di DUN Bengkoka.

Dalam keadaan itu, penganalisis politik tidak menolak kemungkinan keputusan pilihan raya akan tergantung lagi seperti mana berlaku dalam PRU-14.

Mereka turut membangkitkan persoalan adakah Warisan Plus dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menggabungkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS akan mendapat majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan?

Bagaimana pula dengan Parti Cinta Sabah (PCS) diketuai Datuk Seri Anifah Aman – satu-satunya parti yang bertanding di kesemua 73 kerusi dalam PRN tersebut? Adakah mereka tidak berpeluang mendapat majoriti mudah?

Advertisements

Pada masa sama, kita juga tidak boleh mengenepikan kehadiran beberapa parti kecil lain dan calon Bebas yang mungkin akhirnya tidak mustahil akan menjadi ‘King Maker’.

Parti Cinta Sabah di basan kepemimpinan Datuk Seri Anifah Aman dijangka mampu memberi saingan dalam PRN Sabah.

Selain PCS yang bertanding 73 kerusi, parti-parti lain ialah Parti Warisan yang bertarung di 53 kerusi, Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO-47 kerusi), Parti Liberal Demokratik (LDP-46 kerusi), BN (41 kerusi), PN (29 kerusi), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan-28 kerusi), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS-23 kerusi) dan PBS (22 kerusi).

Parti-parti lain yang turut bertanding ialah Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO-12 kerusi), PKR (tujuh kerusi), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat – lima kerusi), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri-dua kerusi dan masing-masing satu calon bagi Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Kebangsaan Sabah (PKS), serta Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Pertubuhan).

Penyertaan begitu banyak parti dan calon sudah pasti akan memungkinkan berlakunya pecah undi dan sekaligus akan menggugat mana-mana parti utama seperti Warisan Plus, Gagasan Rakyat Sabah (PN,BN,PBS) mendapat majoriti mudah.

Kalau benar keputusan PRN akan terikat atau tidak ada mana-mana parti mendapat majoriti mudah, adalah wajar jika kerajaan campuran ditubuhkan dan bukannya melalui ‘pesta’ lompat melompat sehingga politik Sabah menjadi haru biru.

Jika sokongan untuk penubuhan kerajaan negeri dilakukan secara tulen maksudnya, parti-parti bersedia bekerjasama dalam kerajaan campuran demi kepentingan rakyat Sabah ia lebih bermoral daripada ada wakil rakyat yang menang melompat parti semata-mata inginkan kuasa.

Oleh itu, parti-parti yang bertanding perlu berjiwa besar dan harus bersedia menghadapi kemungkinan penubuhan kerajaan campuran demi rakyat Sabah. Janganlah berdegar-degar bercakap soal memperjuangkan nasib rakyat negeri itu tetapi kesudahannya kepentingan politik peribadi lebih diutamakan.

Parti yang memiliki kerusi terbanyak harus dilantik menjadi Ketua Menteri dan sistem penggiliran memegang jawatan tersebut boleh dilaksanakan semula seperti mana semasa BN mula memerintah Sabah pada 1994.

Ketika itu jawatan Ketua Menteri digilirkan dalam kalangan pemimpin-pemimpin tiga kaum utama, Bumiputera Islam, Cina dan Bumiputera Bukan Islam.

Penubuhan kerajaan campuran dilihat langkah terbaik bagi mengelakkan rakyat Sabah terus diseret dalam pergelutan politik merebut kekuasaan antara elit-elit politik tidak kira daripada parti mana sekalipun.

Masih terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan bagi memajukan Sabah dan mensejahterakan rakyatnya, bukannya berterusan berterusan menyeret negeri itu dalam kancah perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.

Rakyat Sabah sudah bosan dan muak dengan retorik politik atau satu demi satu pemimpin politik bergilir-gilir ke istana untuk membuktikan mereka ada cukup sokongan bagi menubuhkan kerajaan. Adegan seumpama itu harus dihentikan.

Jika ada mana-mana parti mendapat majoriti mudah, kesemua yang bertanding perlu menerima dengan terbuka, jangan lagi kelam kabut ke sana ke sini ‘memancing’ wakil rakyat melompat parti.

Kalau tidak ada parti mendapat majoriti mudah, maka semua parti perlu duduk semeja berunding untuk menubuhkan kerajaan campuran demi rakyat Sabah.

Apapun kita mengharapkan PRN Sabah akan berakhir dengan aman dan proses penububuhan kerajaan negeri dilakukan secara tertib serta bermaruah – bukannya berkesudahan dengan ‘pesta membeli belah wakil rakyat’.

Advertisements

Terkini

JKM sahkan mangsa pukul di Kemaman pemegang kad OKU

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesahkan lelaki yang dipukul beramai-ramai di Pasar Tani Padang Astaka, Kemaman, Terengganu pada 17 Januari...

Lagi Artikel Berkaitan