26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Usah layan ‘psywar’ PH

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

PEMBENTUKAN kerjasama antara UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) sememangnya sesuatu yang menakutkan Pakatan Harapan (PH) yang terus mendapat sokongan daripada Tun Mahathir Mohamad.

Mereka tahu kekuatan gabungan antara dua parti besar orang Melayu itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Sehubungan itu, dari semasa ke semasa, pemimpin dan cybertrooper PH terus melancarkan ‘perang psikologi’ atau psywar bagi menggugat kerjasama tersebut.

Ia termasuklah membangkitkan persoalan apa akan berlaku kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin Bersatu yang menyebelahi beliau.

Seorang pemimpin Bersatu yang sudah digugurkan keahliannya membangkitkan persoalan apakah benar Muhyiddin akan diberi laluan oleh UMNO untuk menjadi Perdana Menteri.

Mereka turut menimbulkan persoalan berhubung pembahagian kerusi yang akan melibatkan UMNO, Pas dan Bersatu kerana ketiga-tiga parti itu mewakili orang Melayu dan bertanding sesama sendiri ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada masa sama seorang pemimpin DAP menggesa supaya Mahathir dan Anwar bergabung untuk melawan Muhyiddin dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Agak pelik kenapa Najib yang tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam parti mahupun kerajaan tetapi sekadar Ahli Parlimen Pekan terus menjadi ‘hantu’ yang meresahkan PH.

Dalam PRU-14, mereka menjadikan Najib sebagai modal untuk menjatuhkan BN tetapi dalam menghadapi PRU-15, mereka mula takut faktor Najib akan menyebabkan PH ditolak oleh rakyat khususnya orang Melayu.

Walaupun setakat ini ‘psywar’ PH dan Mahathir tidak menjejaskan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) mahupun UMNO atau Pas, tetapi mereka perlu berhati-hati. Kerjasama antara parti dalam PN harus diperkukuhkan dan kesepakatan dalam MN harus diperteguhkan.

PRU-15 harus dijadikan gelanggang bagi memperkukuhkan kuasa politik Melayu yang pastinya akan turut memberi manfaat besar kepada kaum-kaum lain memandangkan PN bukan sahaja dianggotai oleh UMNO, Pas dan Bersatu tetapi juga MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak dan Gabung Bersatu Sabah.

Bagaimanapun misi tersebut tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin Melayu pembangkang, penggunaan perkataan ‘Kerajaan Melayu-Islam’ bagi menggambarkan Kerajaan PN membuktikan usaha mereka untuk menakut-nakutkan kaum lain kepada PN.

Tetapi mereka lupa apapun hujah yang dikeluarkan oleh Mahathir dan pemimpin-pemimpin Melayu lain dalam PH sebelum ini, DAP tetap dilihat mendominasikan Kerajaan PH sebelum ini dan dengan menguasai 42 kerusi Parlimen, ‘nyawa’ kerajaan tersebut terletak di tangan mereka.

Sebab itulah pemimpin-pemimpin DAP tidak banyak bercakap atau membuat kenyataan politik sejak kebelakangan ini kerana tahu kekuatan yang ada kepada mereka. PKR hanya memiliki 39 kerusi, Amanah hanya ada 11 kerusi, Warisan 9 kerusi sahaja manakala Mahathir hanya lima kerusi.

Selain itu ‘psywar’ PH juga bertujuan menutup situasi berantakan yang dikatakan berlaku melibatkan Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan isu siapa akan menjadi Perdana Menteri jika PH kembali berkuasa.

Mahathir sudah menyatakan secara terbuka beliau mahu menjadi Perdana Menteri lagi, biarpun menegaskan ia hanya untuk beberapa bulan tetapi hampir kesemua ahli Parlimen PKR tidak mahu lagi menyokong bekas Perdana Menteri tersebut kerana mereka sudah serik dengan apa yang berlaku.

Pada masa sama, Anwar pula berhadapan dengan masalah kerana dikhabarkan ahli-ahli Parlimen DAP dan Amanah tetap mahu Mahathir menjadi Perdana Menteri sebelum peralihan kuasa dilakukan. 

Bagaimanapun PN dan MN tidak perlu ‘menyibuk’ soal rumah tangga PH, biarkan mereka berantakan. Apa yang penting ialah mengatur strategi dan memperkukuhkan gerakan bagi meraih sokongan rakyat.

Elakkan sebarang isu yang boleh mengugat perpaduan sesama mereka khususnya melibatkan UMNO,Pas dan Bersatu.

Sekarang ini pun penulis ada dengar cerita-cerita yang tak sedap khususnya melibatkan UMNO dan Pas, tetapi buat masa ini, penulis anggap ia hanyalah ‘gosip-gosip’ politik. 

Percayalah PH dan Mahathir tidak akan ‘duduk diam’, mereka akan berusaha habis-habisan untuk memburuk-burukkan PN dan MN serta memecah belahkan perpaduan kedua-dua gabungan berkenaan.

Sebab itulah pemimpin-pemimpin PN dan MN perlu berhati-hati, jangan terlalu mudah membuat kenyataan-kenyataan yang boleh mewujudkan pelbagai spekulasi dan persepsi.

Momentum rakyat khususnya orang Melayu kini bersama PN dan MN, oleh itu jangan ada yang bertindak merosakkan momentum tersebut kerana kepentingan politik peribadi dan puak masing-masing. 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan