25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pemain naturalisasi: Berpada-padalah FAM

Mesti Baca

NAMPAKNYA FAM begitu ghairah menaruralisasikan pemain asing untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan.

Selepas berjaya menjadikan pemain asal Gambia, Mohamadou Sumareh sebagai pemain kebangsaan, kemudian diikuti Liridon Krasniqi dari Kosovo, khabarnya beberapa lagi pemain asing menaruh minat untuk menjadi “warganegara” Malaysia sekaligus membolehkan mereka mewakili skuad Harimau Malaya.

Untuk tempoh jangka pendek, mengambil pemain-pemain asing untuk diserap sebagai pemain kebangsaan dengan menghadiahkan mereka kad pengenalan Malaysia nampak berjaya, namun apakah kesan kepada pemain tempatan pada masa depan?

Bayangkan seluruh pasukan negara diisi oleh pemain naturalisasi dan pemain-pemain kacukan yang kadang itu entah dari mana tiba-tiba mengaku ada talian darah dengan orang Malaysia, bagaimana peluang pemain tempatan lain?

Bagi penulis, FAM boleh sahaja mengambil pemain naturalisasi dan juga pemain kacukan untuk mengisi setiap inci padang tetapi berpada-padalah.

Jangan kerana terlalu ghairah mengejar ranking, kita mengabaikan para pemain tempatan — yang lahir, membesar dan bermain bola di tanah air mereka sejak di bangku sekolah. Mereka membina kemahiran, mencurah keringat untuk pasukan sekolah, universiti, negeri sehinggalah ke kelab-kelab Liga Malaysia.

Malangnya apabila memilih skuad kebangsaan, mereka tercicir kerana FAM lebih ghairah melihat para pemain asing serta para pemain kacukan Malaysia, yang ada di antara mereka tidak tahu pun menyanyikan lagu Negaraku sebelum beraksi di padang.

Mengambil atlet asing untuk beraksi untuk pasukan negara bukanlah asing bagi Malaysia. Ketika kita menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada tahun 1998 dahulu, ada beberapa atlet asing yang kita “beli” untuk beraksi untuk pasukan negara, untuk menjadi penyumbang emas.

Seingat penulis atlet asing yang diberi kerakyatan ‘segera’ untuk diserap sebagai atlet negara ialah Muhammad Hidayat Hamidon (angkat berat – Indonesia), Yuan Yufang (lumba jalan kaki – China) dan Irina Maharani (menembak – Russia).

Prestasi mereka tidaklah boleh dibanggakan walaupun Muhammad Hidayat berjaya memenangi pingat emas dalam temasya 1998 itu, tetapi lain-lain atlet “tidak ke mana”. Tidak memenangi pingat di peringat lebih tinggi seperti Sukan Asia apatah lagi Sukan Olimpik.

Walaupun kita membayar dengan harga mahal para atlet terbabit termasuk memberikan kerakyatan, tetapi pencapaian mereka tidaklah “mendunia” sebaliknya ada atlet anak jati Malaysia yang prestasi mereka jauh lebih baik. Ambil sahaja contoh Azizulhasni Awang (basikal), Datuk Nicol David (squasy) dan Datuk Lee Chong Wei (badminton).

Justeru, bagi penulis FAM tidak perlulah terlalu ghairah mengejar pemain naturalisasi atau pemain kacukan sebaliknya mereka perlu memberi tumpuan membina pemain-pemain tempatan sehingga ke tahap tertinggi.

Mereka perlu menyediakan satu penanda aras program pengambilan pemain naturalisasi dan kacukan ini. Letakkan pencapaian untuk muncul juara Asia dan peringkat tertinggi kelayakan Piala Dunia, bukan hanya sekadar menjuarai Sukan SEA. Tidak, itu tidak memadai.

Cukuplah seorang dua pemain naturalisasi atau kacukan yang ada, janganlah terlalu ghairah menjelajah setiap ceruk dunia mencari pemain bola sepak “ada darah Malaysia” untuk diserap jadi pemain kebangsaan.

Kelak nanti akhirnya kita mengumpul sampah-sampah yang terbuang di negara mereka untuk dibawa ke sini, tidak jangan sampai ke tahap itu. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan