28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Inokulasi tepat tingkat hasil industri gaharu tempatan

Mesti Baca

KERAJAAN akan terus mempertingkatkan penghasilan industri karas atau gaharu tempatan yang mencatatkan nilai eksport RM8.8 juta tahun lalu menerusi proses inokulasi yang tepat.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM7.4 juta melibatkan kayu serpai dan blok gaharu, pati minyak gaharu (RM960,000) dan kepingan gaharu (RM440,000).

Menurut beliau, sebanyak 3,742.40 kilogram (kg) pati minyak gaharu telah dieskport pada tahun yang sama.

“Bagi meningkatkan pengeluaran dan jualan hasil karas, penekanan perlu diberi kepada pengeluaran ladang yang memerlukan proses inokulasi yang tepat supaya dapat menghasilkan gaharu.

“Pokok karas yang berjumlah lebih 2.3 juta di ladang negara ini, perlu dipastikan mampu menghasilkan gaharu dan penanam tidak terbeban untuk menggunakan kaedah inokulasi yang tepat,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Mohd Khairuddin mengulas tentang lawatan kerjanya ke kilang pemprosesan pati minyak gaharu Oud Agarwood Sdn Bhd di Kuala Balah, Jeli, Kelantan.

industri

Lawatan kerja ke kilang pemprosesan pati minyak gaharu adalah yang kali pertama sejak Mohd Khairuddin dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, bertujuan untuk melihat pembangunan perusahaan pembuatan bahan tersebut di negara ini.

Selain itu, beliau menyaksikan sendiri penglibatan penduduk luar bandar dan masyarakat dalam sektor industri gaharu bermula dengan fasa perladangan, proses inokulasi pada pokok karas, pemprosesan gaharu (blok dan serpih), pemprosesan pati minyak gaharu dan pemasaran produk di pasaran tempatan serta antarabangsa yang dilaksanakan oleh syarikat tersebut.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan pemain industri gaharu untuk mendengar pandangan mereka dalam usaha memperluaskan lagi potensi industri berkenaan sehingga ke peringkat hiliran seperti usahawan wangian berasaskan gaharu dan lain-lain.

Beliau menambah, industri penanaman karas terus berkembang pesat dengan bertambahnya bilangan ladang di Malaysia.

Mohd Khairuddin memberitahu, sehingga Disember 2019, sebanyak 217 syarikat dan individu telah berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sebagai penanam karas berkeluasan 2,398 hektar dengan jumlah pokok sebanyak 2.3 juta.

“Jumlah pengeksport/pengimport gaharu yang berdaftar dengan MTIB adalah sebanyak 13 syarikat dan sebanyak 22 syarikat/individu adalah pengilang PMG manakala lebih 50 syarikat pengusaha produk gaharu dikenal pasti di seluruh Malaysia,” jelasnya.

Beliau berkata, kementerian melalui MTIB akan terus menyokong dan membangunkan industri karas atau gaharu agar ia terus berkembang melalui kerjasama persatuan, pemain industri dan agensi kerajaan yang lain.

“MTIB juga telah memohon peruntukan bagi projek pembangunan insentif usahawan dan pekebun kecil gaharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi menyokong industri ini,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan