Oleh SITI AINIZA KAMSARI
BAHAGIAN 2 (AKHIR)
SEHINGGA Gusti Noeroel (Nurul) menolak lamaran Bung Karno (Sukarno) dianggap sangat berani.
Manakan boleh lamaran dari seorang yang begitu hebat ditolak begitu sahaja. Alasannya Bung Karno sendiri sudah punya berbilang isteri, tentu sahaja Gusti Nurul tidak mahu dimadukan.
Gusti Nurul sahaja yang sebegitu perasaannya sedangkan ramai wanita lain begitu mengkhayalkan Bung Karno.
Ini kerana Bung Karno sangat adil membahagikan cintanya kepada semua isteri-isterinya. Saat romantisnya tidak mampu dilawan oleh mana-mana lelaki.
Ai petik sahaja sebuah nota ringkas bertulis tangan Bung Karno kepada isterinya seorang anak SMA (pelajar sekolah menengah), Yurike Sanger:
“Dear Yuri, I am always thinking of you, but circumstances make it impossible to meet you. I hope you are alright for the time. Being physically I am not near you, but my heart is with you and in you! – Love, Karno (7 Okt 1966).”
Perempuan mana yang tidak keharuan hati apabila dikunjungi nota ringkas yang sebegini romantik. Sukarno tidak pernah merubah dirinya menjadi yang lain kecuali tetap bagai seorang kekasih walaupun dalam status sebagai suami, dia sesungguhnya seorang pencinta sejati.
Rugi sahaja Gusti Nurul menepis cinta seorang Presiden Indonesia.
Benar sedikit sebanyak Gusti Nurul terpengaruh akan perjuangan puteri dari Kraton Jepara, Raden Adjeng Kartini yang begitu memperjuangkan hak-hak manusiawi golongan wanita yang sering dilihat begitu derita hidup mereka terutamanya jika dimadukan.
Dalam usia 30 tahun akhirnya Gusti Nurul menikahi seorang lelaki yang bukan berasal dari ‘kayangan’. Seorang pegawai tentera berpangkat Leftenan Kolonel, yang lebih dikenali sebagai Mas Jarso.
Tanpa dibantah oleh sesiapa walaupun malahannya suaminya itu seorang duda dan punya seorang anak. Tidak perlu lelaki yang merupakan suami yang dimiliki oleh isteri-isteri yang lainnya.
Gusti Nurul meninggalkan istana dan menjadi rakyat biasa bersama suami tercinta. Cinta sejati yang ditemuinya tetap menjanjikan kebahagiaan walau tidak lagi berada di ‘kayangan’….
Beliau kemudiannya lebih mesra dikenali sebagai Ibu Nurul atau Mbak Nurul yang menghilangkan semua gelaran-gelaran tertinggi dari keraton istana.
Demikian sedikit kisah seorang yang luar biasa kerana dia Puteri Raja dan cintanya juga jadi yang luar biasa!
Namun walau sudah tiada lagi, Gusti Nurul mangkat pada tahun 2005, namun masih terkenal kerana kecantikan alaminya, sangat asli dan serba sempurna…
Sebegitu puteri-puteri Jawa sememangnya punya rahsia untuk kekal cantik dan semuanya dari sumber yang alami.
Artikel ini dipetik dari Facebook Siti Kamsari.