AHLI Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak mengambil gaji bagai terkena batang hidung sendiri.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata, ini kerana sindiran Tuan Ibrahim dalam Dewan Rakyat semalam bagaikan ditujukan kepada guru-guru PASTI dan pekerja parti itu.
Pada masa yang sama, Timbalan Presiden Pas itu bagai membuat dalil bagi para pemimpin mereka mengambil gaji dan elaun sebagai ahli Parlimen, menteri besar dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Barangkali itu bertujuan menjadi dalil untuk pimpinan Pas mengambil gaji dan elaun sebagai menteri, menteri besar, ahli parlimen, exco dan pengerusi GLC.
“Jadi kalau begitu, pimpinan Pas perlu kasihankan pekerja-pekerja parti seperti PASTI yang tidak diberi gaji dan elaun kerana mereka diumumkan oleh Pemuda Pas sebagai sukarelawan tanpa reda mereka.
“Guru-guru PASTI ini malaikat barangkali yang tidak makan dan minum, tidak ada rumah dan tiada kenderaan hanya terbang dengan sayap.
“Begitu juga pekerja parti di pejabat Pasyang menerima gaji kecil RM400, RM500 sahaja sebulan. Mereka juga malaikat barangkali,” sindir Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas.
Semalam, Tuan Ibrahim secara berseloroh berkata, seorang rasul pun diberikan peruntukanoleh Allah untuk rezekinya dan keadaan Anwar dianggap lebih daripada rasul.
“Saya rasa Tambun (Anwar) tak boleh berselindung di sebalik kenyataan dia tak ambil gaji… sebab kalau tengok dari segi data yang ada, rasul pun ada peruntukan yang Allah bagi.
“Ini nampak lebih (hebat) daripada rasul ni. Mungkin dia malaikat kut, dia tak makan gaji.
“Atau mungkin dia transfer (pindahkan) saja, dia tak ambik (secara fizikal) tapi dia online,” katanya yang menyentuh mengenai isu gaji minimum.
Khairuddin berkata, sindiran Tuan Ibrahim itu sebenarnya ditujukan kepada guru-guru PASTI dan pekerja parti yang atas nama perjuangan mengorbankan gaji mereka.
“Jadi guru PASTI sukarela atas nama perjuangan tak mengambil gaji sebagaimana PM (Anwar) sukarela atas nama keyakinan perjuangan beliau tidak menerima gaji.
“Mereka ini yang disindir oleh Dato Tuan Ibrahim. Guru PASTI tak terasa ke? Saya pun terasa juga kerana sukarela menjadi Penasihat Agama TPM (Timbalan Perdana Menteri) tanpa gaji,” katanya. – Edisi 9