Sunday, July 19, 2026

Tuan Ibrahim tarik balik saman Rafizi isu Sungai Langat 2

Dengan penyelesaian itu, kedua-dua pihak memaklumkan isu berkenaan telah ditamatkan secara baik tanpa melalui proses perbicaraan di mahkamah.

Mesti Baca

PERTIKAIAN sivil Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dengan Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung isu projek tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion selesai secara baik di luar mahkamah hari ini.

Kes itu pada asalnya difailkan Tuan Ibrahim yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 November 2022 terhadap Rafizi dengan nombor guaman WA-23CY-54-11/2022.

Saman berkenaan berpunca daripada beberapa kenyataan media Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR ketika tempoh kerajaan sementara selepas Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Antara persoalan yang dibangkitkan beliau ialah berhubung dakwaan usaha penganugerahan projek tebatan banjir berkenaan kepada syarikat Mangkubumi Sdn. Bhd. oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) ketika itu diterajui Tuan Ibrahim.

Rafizi dalam kenyataan hari ini menjelaskan, persoalan tersebut dibangkitkan berdasarkan maklumat dan dokumen yang diperoleh daripada sumber yang dipercayai.

Bagaimanapun, bagi mengelakkan salah faham orang ramai, beliau bersetuju menurunkan semua hantaran di media sosial yang berkaitan isu berkenaan.

Tuan Ibrahim pula menegaskan, keterlibatannya dalam isu penganugerahan projek itu tidak lagi berbangkit memandangkan perkara tersebut bukanlah tumpuan utama kenyataan media Rafizi sebelum ini. 

Sehubungan itu, beliau menarik balik saman sivil yang difailkan.

“Kami sependapat bahawa sebarang perselisihan atau salah faham wajar diketepikan demi kepentingan awam, keharmonian masyarakat dan kestabilan politik negara,” kata kedua-dua pemimpin itu dalam kenyataan bersama hari ini.

Dengan penyelesaian itu, kedua-dua pihak memaklumkan isu berkenaan telah ditamatkan secara baik tanpa melalui proses perbicaraan di mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutan, Tuan Ibrahim mendakwa Rafizi mengeluarkan kenyataan fitnah pada dua sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya yang turut disiarkan secara langsung menerusi YouTube defendan (Rafizi) pada 7 dan 9 November 2022.

Kenyataan itu didakwa membawa maksud beliau terlibat meluluskan projek bernilai RM2 bilion kepada sebuah syarikat bagi Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat, serta projek loji rawatan kumbahan dan rangkaian paip pembetungan di Kinta dan Petaling Jaya, berjumlah lebih RM2.3 bilion.

Beliau juga dituduh berkomplot secara rahsia dengan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam penganugerahan projek di bawah Program Jana Wibawa. —Edisi 9

Terkini

Layan ‘final’ Piala Dunia dan Semarak Subuh bersama TPM

PASUKAN mana pilihan anda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026, awal pagi ini? Sepanyol atau Argentina? Para peminat bola sepak,...

Lagi Artikel Berkaitan