31.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Rapatkan saf di masjid, KKM perlu masa keluarkan kebenaran

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memerlukan tempoh masa beberapa minggu lagi sebelum mengeluarkan nasihat berhubung kebenaran merapatkan saf bagi jemaah di masjid.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, tempoh masa itu diperlukan pihaknya untuk memantau dahulu kesan gelombang Omicron sebelum mengeluarkan nasihat berhubung isu saf di masjid.

Menurutnya, sehingga kini KKM masih lagi memperhalusi permintaan daripada pelbagai pihak bagi merapatkan saf di masjid sebelum mengeluarkan nasihat mengenai perkara itu.

“Ia memang dalam perhatian KKM dan kita sangat prihatin dengan perkara ini bukan kita tidak mahu membenarkan cuma kalau boleh bagi kita tempoh masa beberapa minggu lagi.

“Kita nak melihat kesan gelombang Omicron sebelum kita boleh keluarkan nasihat untuk disembah bagi perkenan Raja-Raja Melayu,” katanya pada sidang media, di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menggesa KKM supaya menjelaskan pelaksanaan SOP Covid-19 yang didakwa terdapat elemen “double standard” sekali gus menyebabkan ramai dalam kalangan umat Islam tidak berkesempatan untuk menunaikan solat Jumaat dan jemaah 5 waktu di masjid.

Advertisements

Asri mempersoalkan mengapa SOP ketat masih dikuatkuasakan di masjid namun dilonggarkan di tempat lain seperti stadium, program hiburan dan ketika menaiki pengangkutan awam.

Tegas Asri, fatwa yang dikeluarkan untuk menjarakkan saf di masjid hanya dibenarkan apabila KKM memberi alasan penyebaran wabak akan berlaku jika saf dirapatkan.

“Kita hanya melonggarkan (syarat merapatkan saf) apabila ada alasan kukuh,” katanya.

“Tetapi alasan itu tidak dipakai di tempat lain, mengapa alasan itu hanya terpakai di masjid?”

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan