CYBERJAYA – Skop perkhidmatan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) akan diperluaskan menjadi Hospital Bersepadu MAEPS bagi menangani lonjakan mendadak kes COVID-19 di Lembah Klang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Hospital Bersepadu MAEPS itu akan berfungsi sama seperti dengan hospital kerajaan lain.
“Dengan pelaksanaan itu, ia akan mampu memberi perawatan pemulihan kecemasan kes COVID-19 kategori tiga dan empat dengan menambahkan kapasiti oksigen kepada lebih 1,500 pesakit,”katanya dalam sidang media di sini.
Mengulas lanjut, katanya, penambahan sebanyak sebanyak 1,000 tangki oksigen serta 1,000 oxygen concentrator akan dilakukan, bagi meningkatkan lagi kapasiti oksigen di PKRC MAEPS yang dijadikan Hospital Bersepadu dalam perawatan COVID-19.
“Untuk makluman, jumlah bekalan oksigen di seluruh Selangor pada masa ini adalah berjumlah 6,391 merangkumi port dan tangki dengan pencapaian penggunaan sebanyak 3,413 buah atau 53 peratus.
“Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) sedia ada juga akan dilengkapi dengan keperluan oksigen sementara pesakit menunggu rujukan ke PKRC MAEPS atau hospital,”katanya. – Edisi 9