32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Empat hospital, institusi kanser jadi hab teknologi kesihatan NTIS

Hospital berkenaan ialah Hospital Putrajaya, Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur, Hospital Bera di Pahang dan Hospital Rembau, Negeri Sembilan serta Institut Kanser Negara.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melancarkan Hab Teknologi Kesihatan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) melibatkan kerjasama empat hospital serta sebuah institusi perubatan.

Hospital berkenaan ialah Hospital Putrajaya, Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur, Hospital Bera di Pahang dan Hospital Rembau, Negeri Sembilan serta Institut Kanser Negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata hab itu berperanan untuk menangani cabaran kritikal sektor perubatan dan penjagaan kesihatan di Malaysia melalui teknologi termasuk penggunaan robotik seperti Kenderaan Berpandu Automatik (AGV) dan dron dilengkapi teknologi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI).

“Saya melihat dengan adanya hab teknologi kesihatan, perkara penting yang dapat diberi tumpuan adalah mewujudkan satu ekosistem lengkap dengan kemudahan hospital, pusat penyelidikan dan rujukan, tenaga kerja kemahiran tinggi, pusat ilmu dan latihan serta perkara berkaitan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Hab Teknologi Kesihatan NTIS di MRANTI Park, Bukit Jalil hari ini yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Kesemua hab teknologi kesihatan itu akan mendapat akses kepada tapak ujian, pendanaan dan fasiliti pengawalseliaan, dengan para inovator boleh membangunkan penyelesaian teknologi yang merevolusikan ekosistem inovasi secara kondusif.

Pada majlis itu, Dr Adham turut mengumumkan hab berkenaan akan disokong oleh Kluster Penjagaan Kesihatan Bersepadu MRANTI seluas empat hektar (10 ekar) yang antara lain akan mempercepatkan penerokaan dan pembangunan kerja dalam penjagaan kesihatan serta teknologi perubatan.

Sementara itu, Khairy berkata pelaksanaan Hab Teknologi Kesihatan NTIS diharap dapat mencungkil potensi daripada pelbagai pihak untuk mengatasi cabaran kesihatan awam yang semakin meningkat, sekali gus menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kepada negara.

“Ini adalah sebahagian daripada visi besar Kementerian Kesihatan untuk beralih daripada penjagaan sakit kepada penjagaan kesihatan dan kesejahteraan…sudah lama kami telah membelanjakan terlalu banyak wang dalam bahagian kuratif penjagaan kesihatan, penjagaan asas pesakit pada asasnya dan merawat orang sebaik sahaja mereka jatuh sakit.

“Kita perlu mengalihkan sebahagian daripada pelaburan itu untuk memastikan rakyat sihat dan mereka tidak jatuh sakit,” katanya.

Khairy dalam sidang akhbar kemudian berkata Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama tanpa kertas atau melaksanakan rekod perubatan elektronik sepenuhnya di semua hospital dan klinik awamnya.

“Kami akan memilih vendor tidak lama lagi berdasarkan tender terbuka dan kami akan menaik taraf serta menempatkan rekod perubatan elektronik baharu di semua hospital awam di Negeri Sembilan serta klinik kesihatan.

“Apabila penempatan itu berjaya, kami akan dapat pergi ke seluruh negara,” katanya.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan