KIRA-KIRA tiga hari Facebook Datuk Seri Najib Tun Razak “sunyi” tanpa sebarang perkhabaran, malam ini keluarga bekas perdana menteri itu memuat naik satu hantaran baharu menerusi Facebook tersebut.
Hantaran turut sama menjemput orang ramai untuk hadir sempena solidariti untuk Najib di Dataran Pekan, Pahang, 2.30 petang Ahad ini.
Menurut hantaran berkenaan, Najib menitipkan pesanan untuk disampaikan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Jaga Pekan baik-baik masa saya tiada. Mereka orang kampung saya, dah lama dengan saya. Please pass the message to MB.
“Berkhidmat untuk penduduk Pekan dari usia 23 tahun. 46 tahun lamanya. DSN (Datuk Seri Najib) mendoakan agar Pekan terus menerima khidmat bakti terbaik, dijaga kebajikannya. Sebagaimana yang diuruskan sepanjang masa ini,” kongsi Keluarga Najib.
Rata-rata warganet mendoakan agar Najib sekeluarga dipermudahkan urusan.
Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang sejak 23 Ogos lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
-EDISI9